Bekalan ikan dalam negara semakin merosot: CAP

Iklan
Bot pukat tunda menimbulkan masalah kepada sumber perikanan negara. Gambar kecil: Anak ikan musnah akibat penggunaan pukat tunda.

GEORGETOWN - Jumlah pendaratan ikan yang semakin berkurangan menunjukkan sektor perikanan di Malaysia ketika ini semakin malap berikutan ancaman ke atas hidupan laut yang berterusan sejak lebih 40 tahun lalu.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, puluhan ribu nelayan kini mengeluh berikutan sumber pendapatan mereka terjejas akibat kemerosotan hasil tangkapan.

Iklan
Iklan

"Stok ikan semakin merosot dan sumber hasil laut negara hanya mampu bertahan dalam tempoh kurang 30 tahun saja lagi. Kajian Jabatan Perikanan pada 2016 mendapati stok ikan demersal seperti spesies gelama, kerisi, lolong bara, udang dan sotong semakin menyusut daripada 473,345 tan metrik kepada 21,002 tan metrik.

"Ini menunjukkan stok ikan di Semenanjung Malaysia kini berada pada tahap merah dan memerlukan pemuliharaan segera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Menurutnya, sehingga kini tidak ada tindakan berkesan yang diambil ke atas punca permasalahan tersebut.

Katanya, Jabatan Perikanan sebelum ini memaklumkan stok ikan dalam perairan Semenanjung Malaysia kini berada pada paras kritikal apabila biomass sumber perikanan demersal semasa direkodkan hanya berbaki 4.4 peratus sahaja pada masa ini berbanding 60 tahun lalu.

Iklan

Tambah Mohideen, penggunaan pukat tunda dan peralatan tangkapan lain yang memusnahkan benih ikan dan tempat semula jadi pembiakan termasuk projek penambakan laut, pencemaran dan kemusnahan hutan paya bakau merupakan ancaman yang menyumbang kepada masalah kepupusan sumber perikanan di perairan negara ini.

Katanya, sebuah bot pukat tunda boleh memerangkap dan membunuh lebih 60 peratus anak ikan termasuk spesies anak ikan berkualiti tinggi seperti jenahak, merah, kerisi, bawal, gelama, kerapu termasuk anak sotong dan ketam serta ikan rakyat iaitu kembung.

"Di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, selain masalah pencerobohan bot pukat tunda yang mengancam sumber perikanan dan mata pencarian nelayan-nelayan pantai di negeri tersebut, aktiviti bot rawa sorong, kisa, siput retak seribu, apollo dan bubu naga turut membebankan kedudukan sumber perikanan di perairan negeri-negeri itu sehingga pendapatan mereka terjejas mencecah 70 peratus setiap kali turun ke laut.

"Di Pulau Pinang, Melaka dan Perak puluhan ribu nelayan pantai mengeluh serta bimbang kerana hasil tangkapan seperti ikan, udang, ketam, siput dan kerang yang menjadi sumber tangkapan utama mereka kini pupus dan berkurangan akibat projek tambak laut dan kemusnahan hutan paya laut," katanya.

Justeru, Mohideen berkata, punca-punca ancaman ke atas sumber perikanan perlu diberi perhatian serius dan diambil tindakan berkesan bagi mengawalnya.

Katanya, peralatan tangkapan yang terbukti memusnahkan benih ikan seperti pukat tunda wajar diharamkan penggunaannya malah Akta Perikanan 1985 mesti dikuatkuasakan dengan tegas agar perbuatan pelanggaran peraturan yang termaktub di bawahnya dapat dibanteras.

"Kerajaan negeri dan kementerian yang terlibat perlu memberi keutamaan kepada aspek alam sekitar dan sumber-sumber semula jadi dalam apa jua perancangan pembangunan yang hendak dilaksanakan.

"Projek akuakultur yang memusnahkan hutan paya bakau dan aktiviti penambakan laut hendaklah dihentikan demi kesejahteraan hidup golongan nelayan dan masa depan sektor perikanan negara," katanya.