Artifak lebih 1,000 tahun ditemui di Kuala Pahang

Iklan
Dari kiri; Dr Dionysius, Mesran dan Rozairy menunjukkan artifak yang ditemui di kawasan aktiviti perlombongan pasir di kawasan sungai Kuala Pahang berhampiran Kampung Pulau Jawa.

PEKAN - Beberapa artifak termasuk serpihan seramik celadon, porselin dan syiling dipercayai dari Dinasti Song, Ming, Tang dan Kesultanan Pahang ditemui hasil pencarian sekumpulan penyelidik di bawah seliaan Jabatan Warisan Negara (JWN) di kawasan sungai Kuala Pahang berhampiran Kampung Pulau Jawa di sini, semalam.

Artifak yang dipercayai dari abad ke-10 hingga abad ke-13 itu dianggarkan berusia lebih 1,000 tahun ditemui hasil selaman kumpulan penyelidik di kawasan perlombongan pasir di kawasan tersebut.

Iklan
Iklan

Penemuan bukti sejarah itu susulan maklumat diterima pihak JWN mengenai serpihan seramik daripada aktiviti menyedut pasir di lokasi berkenaan sebelum penyelidikan lanjut di bawah air dilakukan selama tiga hari.

Pesuruhjaya Warisan, Mesran Mohd Yusop berkata, penemuan itu menjadi bukti signifikan dalam merungkai sejarah salasilah kebudayaan di Pahang khususnya di Pekan yang dikatakan pernah menjadi pelabuhan penting dalam hubungan perdagangan dengan China.

Iklan

"JWN akan membuat kajian lanjut dengan bantuan pakar seramik untuk mengenal pasti usia sebenar dan pemilik asal artifak itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Serpihak artifak yang ditemui di kawasan aktiviti perlombongan pasir di kawasan sungai Kuala Pahang berhampiran Kampung Pulau Jawa.

Turut hadir ketua penyelidik, Datuk Dr Dionysius SK Sharma dan Pengarah Bahagian Arkeologi JWN, Rozairy Arbi.

Iklan

Mesran berkata, selain penemuan terbaharu itu, JWN pernah menjumpai meriam di sekitar lokasi berkenaan dua tahun lalu selain kapal dagang yang karam di Sungai Pahang di Paloh Hinai di sini.

"Penemuan ini amat penting sebagai bukti artifak kepada sejarah Pekan yang menunjukkan ia sebagai sebuah pelabuhan penting dalam perdagangan hingga ke Lipis.

"JWN menyarankan kajian arkeologi dan penyelamatan artifak ini dapat dilaksanakan secara terancang dan sistematik,” katanya.

Beliau berkata, buat masa kini, belum ada keperluan untuk memohon aktiviti mengorek pasir di lokasi dihentikan sebaliknya penyelidik perlu mencari sebanyak mungkin artifak di kawasan itu.

Menurutnya, JWN meminta orang ramai yang menemui sebarang artifak bersejarah di lokasi itu melaporkan kepada pegawai daerah atau Pesuruhjaya Warisan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 47 Akta Warisan Kebangsaan 2005.

"Mana-mana pihak tidak dibenarkan buat penggalian bagi tujuan mencari artifak tanpa lesen dan kebenaran daripada Pesuruhjaya Warisan seperti mana digariskan melalui Seksyen 65 akta sama,” katanya.

Sementara itu, Dr Dionysius SK Sharma yakin masih banyak tinggalan sejarah di dasar sungai itu.

Menurutnya, beberapa penyelam yang melakukan pencarian menemui beberapa artifak yang masih sempurna tetapi pecah ketika ditarik keluar kerana berada terlalu jauh di dasar sungai.

"Proses selaman berdepan kesukaran dan tidak dapat dilakukan sepanjang masa kerana bergantung kepada faktor pasang surut air dan beberapa faktor lain,” katanya.

JWN akan membuat kajian lanjut dengan bantuan pakar seramik untuk mengenal pasti usia sebenar dan pemilik asal artifak ini.