Nagelsmann pahat sejarah Leipzig

Iklan
Adams meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukannya ketika menentang Atletico awal pagi semalam.

JURULATIH RB Leipzig, Julian Nagelsmann mengakui sudah tidak sabar berdepan dengan mentornya yang juga pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel.

Tuchel merupakan individu yang bertanggungjawab memberi peluang kepada Nagelsmann untuk memulakan kariernya bersama kelab Augsburg 12 tahun lalu yang mana ketika itu dia bertugas sebagai ejen pencari bakat.

Iklan
Iklan

Selepas beberapa tahun tidak bertentang mata, Nagelsmann akhirnya berpeluang bertemu kembali Tuchel apabila Leipzig bakal membuat perhitungan dengan PSG pada aksi separuh akhir Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini.

Terdahulu, Leipzig mencipta sejarah tersendiri apabila buat kali pertama mara ke saingan separuh akhir selepas menyingkirkan gergasi Sepanyol, Atletico Madrid 2-1 dalam aksi suku akhir awal pagi semalam.

Iklan

"Mereka (PSG) adalah sebuah pasukan yang hebat bersama jurulatih hebat (Tuchel). Saya (sebagai jurulatih) pernah beberapa kali berdepan dengannya (Tuchel) tetapi jarang menang.

"Bagaimanapun, saya mahu mengubah situasi itu kali ini. Saya tetap akan gembira jika kami mampu meraih kemenangan walaupun beraksi dengan corak permainan buruk," kata Nagelsmann.

Iklan
Julian Nagelsmann

Sebagai rekod, ketika menjadi jurulatih Hoffenheim, Nagelsmann tewas dua kali dan seri sekali apabila berdepan Tuchel yang ketika itu membimbing Borussia Dortmund dalam saingan Bundesliga antara tahun 2016 hingga 2017.

Pada aksi di Stadium Alvalade, Lisbon awal pagi semalam, pemain kelahiran Amerika Syarikat, Tyler Adams muncul wira Leipzig apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-88.

Sebelum itu, Dani Olmo menyumbang gol pembukaan Leipzig pada minit ke-50 sebelum tonggak Atletico, Joao Felix berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-71.