Nenek didakwa cederakan cucu guna rotan bulu ayam

Iklan
Chilvi, 52, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mencederakan cucunya berusia empat tahun pada November tahun lepas.

MELAKA - Seorang nenek mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas tuduhan memukul cucu kandung berusia empat tahun sehingga cedera hujung tahun lalu.

K Chilvi, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan di bahagian kaki mangsa dengan cara memukul menggunakan sebatang rotan bulu ayam.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 10 malam di sebuah rumah di Taman Cheng Mutiara, awal November tahun lalu.

Iklan

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM20,000 serta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa sepanjang perbicaraan.

Iklan

Peguam Ramalingam Karuppiah yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja dan telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan 15 September sebagai tarikh sebutan semula kes.