SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) menegaskan tangkapan layar yang dipaparkan dalam sebuah portal semalam mengenai kebocoran data peribadi pelajar dan alumni dalam talian menunjukkan format maklumat yang tidak digunapakai atau dijana dari mana-mana sistem dalaman universiti itu.
Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, ia menunjukkan maklumat tersebut telah diolah dan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau turut mengesahkan bahawa maklumat tersebut bukan dijana terus dari sistem UiTM ekoran daripada pengodaman.
Menurutnya, UiTM yakin sistem sedia ada yang digunakan adalah utuh, selamat dan boleh dipercayai.
"UiTM sentiasa memandang serius mengenai keselamatan (information and communications technology) ICT universiti. Kami mempunyai satu Dasar Keselamatan ICT yang komprehensif serta menyeluruh dan merangkumi pelbagai komponen termasuklah perlindungan maklumat rahsia rasmi dan maklumat rasmi dari capaian tanpa kuasa yang sah.
"Tahap keselamatan ICT UiTM diyakini adalah setaraf dengan badan dan organisasi setara yang lain di Malaysia, ini dibuktikan dengan penerimaan pensijilan ISMS (Information Security Management System) ISO 27001:2013 oleh SIRIM QAS International Berhad pada 14 Jan 2019 lalu," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Media sosial semalam digemparkan dengan laporan Lowyat.net mengenai data peribadi lebih sejuta alumni dan pelajar UiTM bocor dalam talian.
Portal tersebut mendakwa butiran kira-kira 1.6 juta pelajar daripada pelbagai jurusan di UiTM antara 2000 hingga 2018 telah bocor.
Laporan yang memetik sumber berkata, data yang bocor termasuk rekod terperinci pelajar dari kampus utama UiTM di Shah Alam dan 13 kampus cawangan di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dalaman bagi memastikan tiada sebarang salahlaku oleh warga.
"Sekiranya di dapati bahawa perkara ini berlaku, pihak UiTM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab," katanya.