17 premis makanan kotor di Cameron Highlands diarah tutup

Iklan
Pegawai penguat kuasa JKN Pahang menampal notis arahan tutup terhadap premis makanan yang didapati berada dalam keadaan kotor hasil pemeriksaan dalam Operasi Caras Hijau Bersepadu di Cameron Highlands kelmarin. - Foto ihsan JKN Pahang

KUANTAN - Sebanyak 17 premis makanan di Cameron Highlands diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang kerana beroperasi dalam keadaan kotor semasa Operasi Caras Hijau Bersepadu bermula 4 hingga 11 Ogos lalu.

Pengarah JKN Pahang, Datuk Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah berkata, arahan penutupan premis dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1963 kerana pengusaha gagal memastikan premis berada dalam keadaan bersih.

Iklan
Iklan

"Selain itu, sebanyak 29 kompaun dengan jumlah keseluruhan RM8,150 dikeluarkan ke atas pengendali makanan dan pengusaha premis kerana gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi berkenaan, pihaknya turut mengambil sebanyak 271 sampel sayur-sayuran dan buah-buahan dari 46 pusat pengumpulan hasil pertanian itu di Cameron Highlands untuk dianalisis tahap residu racun perosak.

Iklan
Pegawai penguat kuasa JKN Pahang melakukan pemeriksaan ke atas sayur-sayuran dan buah-buahan di beberapa pusat pengumpulan dalam Operasi Caras Hijau Bersepadu di Cameron Highlands, kelmarin. - Foto ihsan JKN Pahang

"Tindakan penguatkuasaan akan diambil ke atas mereka yang didapati mengedar dan menjual sayur-sayuran dan buah-buahan yang mengandungi racun perosak melebihi tahap yang dibenarkan seperti mana diperuntukkan di bawah Peraturan 41 Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983.

"Jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun," katanya.

Iklan

Menurutnya, sebagai pengeluar utama sayur-sayuran dan buah-buahan negara, terdapat kira-kira 3,000 hektar kawasan pertanian di Cameron Highlands dengan hasil keluaran sayur-sayuran dan buah-buahan melebihi 800 tan metrik sehari.

"Justeru, amat penting penggunaan racun perosak di peringkat ladang dikawal dengan baik bagi memastikan racun bagi hasil tuaian pada kadar dibenarkan iaitu di bawah paras residu maksimum.

"Penggunaan racun perosak tidak terkawal boleh mendatangkan bahaya dan memudaratkan kesihatan," katanya.