Polis nafi jalan raya dicurah minyak

Iklan
Polis menafikan dakwaan kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Persekutuan memasuki Subang Jaya pada 17 Julai lalu disebabkan jalan yang dicurah minyak.

SHAH ALAM - Polis menafikan dakwaan kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Persekutuan memasuki Subang Jaya dekat sini disebabkan jalan dicurah minyak.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, dakwaan kejadian itu telah tular di media sosial menerusi satu rakaman video berdurasi enam saat menunjukkan sebuah kereta jenis Honda Insight Hybrid yang terbabas ketika memasuki selekoh laluan terbabit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada jam 1 pagi, 17 Julai lalu.

Azman Shari'at

"Kejadian berlaku selepas hujan apabila pemandu kereta iaitu seorang wanita tempatan berusia 30-an gagal mengawal kenderaan ketika cuba mengelak lopak air sebelum terbabas dan melanggar tembok di selekoh jalan.

Iklan

"Siasatan lanjut serta keterangan saksi yang membantu mangsa menyatakan tidak berlaku kes khianat curah minyak di laluan terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan di bawah Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai.

Iklan

Justeru, beliau meminta orang ramai lebih berintegriti dalam menyebarkan berita dan berbudi luhur dalam membina masyarakat yang harmoni.

Katanya, ini kerana berita yang belum disahkan kesahihannya mudah menarik perhatian umum serta mampu mengundang kegusaran umum khususnya pengguna yang sering menggunakan jalan raya di lokasi kejadian.