PUTRAJAYA - Dua individu bergelar Datuk direman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan projek pembalakan bernilai lebih RM27 juta.
Salah seorang individu berusia 65 tahun yang merupakan bekas timbalan pengerusi sebuah syarikat direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Selasa depan.
Seorang lagi individu berusia 40 tahun iaitu bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat pula direman selama lima hari mulai hari ini sehingga Rabu depan.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Menurut sumber, mereka ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada jam 5 petang dan 10.20 malam semalam.
Semalam, SPRM telah mendapat perintah reman terhadap tiga individu termasuk seorang bergelar Datuk bagi membantu siasatan kes yang sama.
Tiga suspek berusia antara 39 hingga 73 tahun itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya kelmarin.
Difahamkan, tiga individu itu terbabit dalam kesalahan memberi dan menerima rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan projek pembalakan di sebuah daerah di Pahang seluas 6,591.67 ekar sekitar tahun 2015 lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Projek balak RM27 juta: SPRM reman tiga individu termasuk Datuk