HARERE - ZIMBABWE. Wang tunai berjumlah hampir AS$1 juta (RM4.1 juta) milik bekas Presiden Zimbabwe Robert Mugabe telah dicuri, lapor media negara itu hari ini.
Susulan itu, tiga suspek termasuk seorang saudara Mugabe telah ditahan dan berdepan perbicaraan berhubung dakwaan mencuri.
Mengikut kertas pertuduhan, kesemua suspek didakwa mencuri wang tunai tersebut yang disimpan dalam sebuah beg pakaian dan disorok di rumah pemimpin itu di Zvimba pada 2016.
Menurut laporan The Herald, hanya AS$78,000 (RM322,194) ditemui dalam beg tersebut pada 6 Januari lalu.
Ketiga-tiga suspek, termasuk Constancia Mugabe, 50, muncul di Mahkamah Majistret Chinhoyi semalam dan diarah kembali untuk sesi pendengaran pada 7 Februari depan.
Mereka dituduh membelanjakan wang tersebut bagi kepentingan sendiri dengan membeli kereta, rumah dan haiwan ternakan.
Menurut pihak pendakwa, Constancia memiliki kunci rumah berkenaan sehingga membolehkan dua lagi suspek yang bekerja sebagai tukang cuci mendapat akses penuh ketika kecurian itu berlaku.
Ketika ini, kelibat Mugabe tidak kelihatan dan tiada siapa mengetahui lokasi sebenarnya.
Presiden Emmerson Mnanggagwa sebelum ini berkata, Mugabe, 94, sedang sakit dan berada di Singapura untuk menerima rawatan. - AFP