CAMERON HIGHLANDS - Sebuah projek pembangunan pusat perniagaan di Mukim Tanah Rata bernilai RM4.2 juta tergendala susulan kontraktor terlibat tiada pengalaman.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin berkata pihaknya akan membuka kembali tender projek tersebut dalam tempoh dua bulan.
"Kita akan buat tender baharu dalam masa dua bulan. Saya tak nak cakap, nak 'cover'sedikit tapi YDP (Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Datuk Zainal Abidin Md Amin) dah cakap.
"Kontraktor yang dapat projek ini tidak berpengalaman, pertama kali dapat projek dan terus dapat projek sebegini, pada saya memang mencabar," katanya selepas melawat tapak perniagaan tersebut, hari ini.
Projek di atas tanah seluas 4.9 ekar itu tergendala selepas bermula pada akhir tahun 2017.
Menurut Zuraida, kerja-kerja tersebut sepatutnya siap 64 peratus bulan depan namun projek yang ditinggalkan hanya siap 20 peratus.
Tegasnya, pemilihan kontraktor baharu mesti yang berpengalaman dalam pembangunan di kawasan tanah tinggi.
"Kontraktor baharu perlu kontraktor yang berpengalaman, membangunkan pembangunan di tanah tinggi. itu sangat penting.
"Melihat kepada lokasi tapak perniagaan ini memang mencabar untuk Majlis Daerah kerana keadaan tanahnya yang cerun, tinggi," katanya yang tidak menolak kemungkinan berlaku kenaikan kos dalam tender baharu.
Dalam pada itu, beliau menafikan projek-projek pembangunan seumpama itu menjejaskan alam sekitar.
"Tidak, kena seimbang. Pembangunan dan alam sekitar perlu seimbang.
"Saya lihat Cameron Highlands masih ada banyak pokok, saya ingat tiada masalah. Cuma bagaimana nak seimbangkannya," katanya.