BUKIT MERTAJAM - Pulau Pinang hari ini menjadi negeri pertama melancarkan tanaman vanila menerusi kebun pintar yang pertama seumpamanya di Malaysia yang akan memberi pulangan dianggarkan bernilai RM1.5 juta setahun.
Pengarah Urusan Jubli Rebak Baru Sdn Bhd, Ezra Tan berkata, kebun vanila pintar yang diselia oleh Kairos Agriculture (perusahaan sosial yang diuruskan oleh Jubli Rebak Baru Sdn Bhd) itu menggunakan Teknologi Agrikultur 4.0 meliputi teknologi kebendaan (IoT), kecerdasan buatan (AI), penggunaan data raya serta pembelajaran mesin dan sistem dron.
"Sebanyak 8,000 keratan batang pokok vanila telah ditanam di atas tanah seluas dua ekar (0.809 hektar) malah kebun pintar ini menggunakan teknologi sistem penyiraman yang akan bertindak secara automatik jika keadaan cuaca didapati terlalu panas atau kelembapan tanah terlalu kering.
"Kemudian kita juga akan menggunakan sistem machine learning iaitu satu teknologi yang akan memantau kondisi tanah dan persekitaran yang membolehkan tanaman vanila tumbuh dengan lebih pantas,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kebun Vanila Pintar Pertama Malaysia oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow di Permatang Pauh Agroparkdi sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut menjalin kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam penyelidikan mengenai kajian kebolehupayaan kadar pertumbuhan tanaman vanila dengan pantas yang mempengaruhi sesuatu keadaan seperti cuaca ataupun persekitaran.
Ezra Tan berkata, menerusi kaedah penanaman digital itu, pulangan hasil tanaman vanila dianggarkan bernilai RM1.5 juta setahun.
"Kami turut akan mengeksport hasil tanaman ini ke negara Jepun selain merancang untuk bekerjasama dengan pemain industri yang dilihat dapat mengembangkan lagi teknologi penanaman digital yang akan menggunakan teknologi robot," katanya.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri melalui Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) menawarkan tanah seluas 1.61 hektar lagi kepada syarikat tersebut bagi mengusahakan tanaman sayuran, herba dan rempah.
"Seperti yang kita maklum, tanah di negeri ini amat terhad. Jadi, dengan saiz tanah yang terhad itu memang kita tidak mampu untuk bersaing dengan negeri lain (dari segi pertanian).
"Namun melalui penggunaan teknologi ini, ia diharap dapat membantu golongan usahawan tani menghasilkan tanaman yang jauh lebih bermutu selain membantu golongan petani menjana pendapatan,” katanya. - Bernama