MELAKA - Ahli perniagaan yang mendakwa dirinya sebagai 'Sultan Melaka', Raja Noor Jan Shah Raja Tuah membuat laporan polis berhubung beberapa akaun di laman sosial yang menggunakan namanya sehingga menjadi gurauan dan ejekan masyarakat.
Menurut Noor Jan, laporan yang dibuat di Balai Polis Gombak pada 22 Januari lalu, menyatakan beberapa pengendali akaun laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram telah menggunakan namanya untuk meraih populariti dan keuntungan peribadi.
"Saya tidak pernah mempunyai sebarang akaun fanpage, Facebook, Twitter ataupun Instagram dan kesemua akaun yang ada di laman sosial kini langsung tiada kena mengena dengan saya iaitu Raja Noor Jan Shah Raja Tuah.
"Amat mendukacitakan apabila melihat pihak pengendali akaun-akaun di laman sosial ini menggunakan nama seperti Sultan Melaka, Sultan Melaka Fan dan pelbagai lagi nama yang dikaitkan dengan Sultan Melaka serta menjadikan gambar saya sebagai penghias akaun mereka," katanya.
Paling dikesalinya apabila kebanyakan akaun tersebut menggunakan kata-kata kesat yang kurang sopan dan keterlaluan.
"Mereka meletakkan gambar yang diubah suai sambil menggunakan kata-kata biadab sehingga menjadikan akaun terbabit semakin popular dengan kecaman dan kritikan masyarakat.
"Selain itu pelbagai isu politik dipermainkan oleh pengendali akaun tersebut sehingga menimbulkan rasa kurang senang oleh segelintir pihak yang menganggap saya yang tulis," katanya.
Menurut beliau, laporan sama juga pernah dibuat pada 2014 lalu berkaitan isu itu, namun tiada sebarang tindakan diambil pihak berkuasa.
"Ia semakin menjadi-jadi menggunakan nama saya hingga menjadi bahan gurauan dan ejekan masyarakat.
"Saya benar-benar minta jasa baik pihak berkuasa supaya segera ambil tindakan berhubung perkara ini supaya ia menjadi pengajaran dan iktibar kepada mereka terlibat yang sengaja menggunakan nama saya untuk meraih populariti dan keuntungan peribadi," katanya.
Awal Januari lalu, pelakon dan pelawak, Tauke Jambu atau nama sebenar Zamatul Amri Zakaria, 42, membuat laporan polis dan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama 'Sultan Melaka' susulan fitnah dan cacian yang dilontarkan terhadap.