Buktikan keikhlasan, kejujuran bantu calon BN: Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional dan Penyerahan Bahagian Angkat PRK N58 Slim di Dewan Feldajaya Trolak hari ini. - Foto Bernama

TANJUNG MALIM - Barisan Nasional (BN) meminta parti yang ingin bekerjasama dengan mereka membuktikan keikhlasan khususnya memastikan calon BN menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka juga perlu menunjukkan semangat kebersamaan dan mengenepikan sebarang perbezaan yang timbul sebelum ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, jika keikhlasan dan kejujuran tidak diterjemahkan dalam PRK ini, sebarang masalah yang berlaku tidak akan dapat diselesaikan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Saya sentiasa bersangka baik dengan rakan-rakan kongsi politik kita. Saya harap jika ada sebarang perbezaan pendapat atau pandangan, itu perkara lama. Kejujuran dan keikhlasan penting dalam perkongsian politik.

Iklan

"Saya harap tiada agenda tertentu supaya kita mahu kejayaan secara bersama," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Pelancaran Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) di Dewan Rajawali, Felda Residence, Trolak, di sini hari ini.

Sementara itu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berharap jentera Pemuda BN yang akan dibantu oleh Pemuda Pas dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menarik sokongan pengundi muda di dalam DUN Slim.

Iklan

Menurutnya, Pemuda BN perlu memastikan pengundi muda di saluran enam di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) akan menyokong calon BN.

Beliau yakin Pemuda MCA dan MIC dapat menarik pengundi kaum Cina dan India.

"Kita mahu 8,000 undi yang diperoleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdahulu, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib harus dikekalkan sebagai asas, 4,000 undi yang diperoleh calon Pas ketika itu (PRU14) akan datang kepada kita.

"Saya juga mahu 6,000 undi calon Bersatu yang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) wajib pergi kepada kita dan mereka perlu membuktikan dapat undi tersebut," katanya.

Pada majlis itu, semua ketua pemuda parti-parti komponen BN, Pas dan Armada Bersatu diberikan bendera BN sebagai simbolik jentera pemuda akan membantu calon BN, Mohd Zaidi Aziz.