GEORGETOWN - Polis menahan seorang pemandu lori dan kelindannya apabila mereka didapati positif dadah selepas terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timut Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam kejadian jam 10.30 malam itu, pemandu lori berusia 38 tahun dikatakan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh empat kereta dan sebuah motosikal.
Menurutnya, akibat kejadian itu seorang kanak-kanak berusia 12 tahun antara yang menjadi mangsa dan mengalami retak tulang dada.
"Siasatan awal mendapati lori lima tan yang membawa muatan perabot itu dipandu dari arah Bayan Lepas ke Gelugor.
"Ketika tiba di persimpangan lampu isyarat terbabit, pemandu lori yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah telah masuk ke laluan bertentangan di bahagian kanan melintasi simpang berkenaan sebelum merempuh sebuah motosikal dan empat kereta yang sedang menunggu lampu isyarat merah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Soffian berkata, mangsa terdiri daripada lelaki berusia 32 tahun yang juga pemandu Volkswagen Polo serta lelaki berusia 40-an memandu Honda Jazz masing-masing mengalami sakit badan.
Katanya, lelaki berusia 56 tahun pemandu Mercedes serta lelaki berusia 32 tahun yang menaiki Honda Stream tidak mengalami kecederaan.
"Polis masih lagi mengesan identiti penunggang motosikal yang dipercayai dibawa ke hospital swasta berhampiran untuk menerima rawatan sejurus kemalangan berlaku.
"Ketika pemeriksaan dibuat pada lori terbabit, polis menemui daun kering dalam paket lutsinar di atas papan pemuka berhampiran tempat duduk pemandu yang dipercayai dadah jenis ganja malah kita juga temui air ketum di bahagian belakang tempat duduk penumpang," katanya.
Soffian berkata, pemandu dan kelindan lori berusia 39 tahun itu ditahan dan ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis ganja.
Tambahnya, kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini dan kes akan siasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.