KEMAMAN - Pertubuhan Kebajikan Warga Felda Malaysia (PKWFM) merayu kerajaan meluluskan suntikan dana khas sebanyak RM700 juta setahun supaya pemulihan dan transformasi Felda yang sekarang dihimpit pelbagai masalah dapat dilakukan dengan lancar.
Setiausaha Agungnya, Mohd Fauzi Mat Adam berkata, pihaknya berharap supaya Felda akan terus menjadi keutamaan kepada kerajaan dengan perlaksanaan strategi baru yang lebih berkesan dan segera memulihkan kesempitan serta kembali menjaga kebajikan warga Felda.
"Seperti yang kita ketahui, akhir-akhir ini warga Felda dihimpit dengan pelbagai permasalahan seperti harga sawit rendah, sara hidup yang tinggi, kebajikan terabai, ladang yang tidak diuruskan dengan baik dan hutang yang semakin bertambah serta mengelirukan.
"Keadaan ini bertambah teruk apabila bantuan-bantuan yang ada sebelum ini dikurangkan jumlahnya atau terus dihapuskan," katanya.
Ekoran itu, Mohd Fauzi berkata, PKWFM melahirkan rasa khuatir dan bimbang jika Felda tidak lagi menjadi keutamaan kepada kerajaan Malaysia pada hari ini.
"Kerajaan sebelum ini menjadikan Felda sangat dekat dengan pentadbiran kerajaan mereka di mana pelbagai insentif dan bantuan diberikan secara konsisten terhadap peneroka Felda.
"Jadi sekarang timbul kerunsingan dalam kalangan kami kerana kalau kerajaan hari ini bukan sahaja tidak dapat melunaskan janji-janji mereka terhadap peneroka Felda tetapi lebih teruk jika Felda sudah tidak menjadi agenda utama kepada mereka.
Tambah Mohd Fauzi, selepas hampir sembilan bulan pertukaran kerajaan, keadaan yang tidak stabil itu memberikan kesan yang besar kepada kebajikan seramai 112,000 keluarga peneroka di seluruh negara.
"Janganlah kita mempersia-siakan kejayaan Felda yang diiktiraf di seluruh dunia. Tidak ada di tempat lain di dalam dunia yang ada model seperti Felda ini.
"Seperti kita ketahui, banyak negara termasuk Indonesia pernah datang ke negara kita untuk melihat bagaimana kita membangunkan Felda untuk dilaksanakan di negara mereka," katanya.
Mohd Fauzi menegaskan, peristiwa suram di mana sektor komoditi seperti Felda tidak diberikan perhatian yang sewajarnya seperti tahun 1990-an tidak boleh lagi berulang.
Jika diimbas ketika itu, Felda hampir tidak pernah mendapat bantuan kerajaan dan segala pembangunan infrastruktur di dalam Felda waktu tersebut dibangunkan dengan menggunakan hasil pendapatan dari perniagaan Felda sendiri.
Namun selepas 2003, baharulah kerajaan ketika itu telah memberikan Felda satu peruntukan tetap untuk pembinaan jalan raya, paip air yang mana memang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membinanya.
"Jika diimbas, hampir RM1 bilion diberikan kepada peneroka Felda selama lima tahun hanya bermula di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
"Disebabkan itu kami berharap zaman suram 1990-an itu berlalu dan tidak berulang dan kerajaan mesti kekal menjadikan Felda sebagai keutamaan negara terutamanya dalam kebajikan dan pembangunan.
"Jika berulang lagi sejarah duka dahulu maka pendapatan kepada negara akan terjejas dan apa yang lebih penting, kebajikan peneroka Felda itu sendiri akan turut tidak terbela dan terbiar," katanya lagi.