PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Tiada alasan untuk para penjual pelitup muka tidak menurunkan harga jualan mengikut harga maksima ditetapkan kerana penetapan itu telah diumumkan lebih awal.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, tempoh pengumuman kerajaan diharapkan tidak dijadikan isu dan mencetuskan masalah kepada pembekal pelitup muka.
"Saya harap tak ada masalah kerana sebenarnya kita dah umum akan turunkan harga dari RM1.50 kepada RM1.20 dua minggu lalu.
"Ucapan dalam Parlimen, jawapan saya pada ahli-ahli Parlimen... kita dah beritahu. Bukan dibuat secara mengejut," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Jualan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Negeri Selangor 2020 di Tesco Mutiara Damansara, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dr Alauddin Sidal dan Ketua Pegawai Operasi Tesco Malaysia, Sushmita Paul.
Nanta berkata demikian mengulas berhubung penurunan harga pelitup muka yang ditetapkan pada kadar maksimum RM1 sekeping berkuat kuasa hari ini yang diumumkan beliau pada sidang akhbar di Parlimen, Khamis lalu.
Nanta juga menegaskan penetapan mengenai penurunan harga pelitup muka diumumkan secara berskala dengan mengambil kira kepentingan pelbagai peringkat merangkumi pengguna, pemain industri dan pengimport.
Ujar beliau, sebarang pengumuman mengenai harga pelitup dibuat secara berhati-hati tanpa bersifat politik.
Dalam pada itu, ditanya adakah terdapat laporan mengenai peniaga yang masih gagal menurunkan harga pelitup muka, Nanta berkata, setakat ini belum ada sebarang perkembangan diterima.
Bagaimanapun beliau berkata, pemantauan akan terus dilakukan bagi memastikan pelitup muka dijual pada harga ditetapkan.