Cabaran penguncupan ekonomi

Iklan

PENGUMUMAN Jabatan Perangkaan Malaysia pada Jumaat bahawa pertumbuhan ekonomi negara menguncup 17.1 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding penguncupan sebanyak 16.5 peratus suku pertama adalah memeranjatkan.

Pemerhati dan penganalisis ekonomi dalam serta luar negara tidak menjangkakan kemerosotan seteruk itu memandangkan pelaksanaan beberapa pakej rangsangan ekonomi oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN). Mereka meramalkan penguncupan antara 7.2 peratus hingga 10.2 peratus.

Iklan
Iklan

Penguncupan suku tahun sebanyak 17.1 peratus itu adalah yang terburuk dalam sejarah negara. Rekod sebelum ini adalah 11.2 peratus yang berlaku pada suku akhir tahun 1998 akibat krisis kewangan Asia.

Penguncupan yang melumpuhkan itu berlaku serentak dengan pengambilan alih kuasa tanpa pilihan raya oleh kerajaan PN daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipilih.

Iklan

Kerajaan PH jatuh pada 24 Februari dan kerajaan PN mengangkat sumpah pada 2 Mac 2020. Suku kedua yang sedang dibincangkan adalah dari April hingga Jun.

Prestasi buruk di luar jangkaan ini akan menjadi cabaran tambahan kepada pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana kesannya akan menekan kewangan kerajaan dan memberatkan lagi beban kehidupan rakyat jelata.

Iklan

Secara tidak langsung ia adalah undi tidak percaya sektor ekonomi terhadap Muhyiddin; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Kita terpaksa akui bahawa krisis ekonomi global yang dicetuskan oleh pandemik koronavirus (Covid-19) adalah lebih buruk daripada mana-mana yang pernah dialami sebelum ini. Namun, banyak pemerhati dan penganalisis ekonomi termasuk yang terlibat dalam menangani krisis-krisis sebelum ini berpendapat cara krisis kali ini ditangani tidak teratur dan kurang meyakinkan.

Dalam hubungan ini, ramai menteri Kabinet yang ada sekarang mempunyai pengalaman dengan krisis 1997/1998. Walaupun pada masa itu Muhyiddin menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan tetapi Mustapa merupakan pegawai kanan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (NEAC).

Tetapi kita kena akui bahawa kali ini negara tidak mendapat khidmat dua orang yang pakar dalam hal menangani krisis ekonomi iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Sebaliknya di saat-saat ekonomi negara mengalami keadaan amat sukar, Muhyiddin melantik seorang Menteri Kewangan junior yang tidak ada sedikit pun pengalaman dalam pentadbiran ekonomi dan fiskal sektor awam.

Akibatnya, pakej-pakej penyelamatan dan perangsangan ekonomi yang diuar-uarkan sebagai hebat serta diberi label rakyat seperti pakej Mak Cik Kiah dan Pak Salleh bukan sahaja tidak berjaya menjana pertumbuhan ekonomi, malah gagal menyekat kemerosotannya.

Untuk baki tahun ini dan beberapa tahun akan datang, negara memerlukan dasar, rancangan serta pelaksanaan yang berkesan bagi memulihkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat jelata.

Malangnya di saat-saat kita memerlukan kestabilan politik dan kecekapan pemerintahan yang luar biasa, kita dilanda krisis politik yang teruk akibat penafian mandat rakyat jelata yang mereka buat pada 9 Mei 2018.

Kesimpulannya, bergantung kepada kejayaan kerajaan menyekat penguncupan pertumbuhan ekonomi daripada menjadi lebih teruk dan mengembalikan ekonomi ke landasan pertumbuhan, keadaan akan menjadi lebih tidak tertanggung kepada rakyat jelata.

Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara