LIPIS - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan calon PH, M.Manogaran untuk bertanding di PRK Cameron Highlands adalah pilihan tepat buat parti tersebut.
Beliau mengulas berikutan timbul dakwaan pemilihan Manogaran tidak sesuai berikutan kawasan tersebut majoritinya terdiri kaum Melayu.
"Dia (Manogaran) calon yang tepat..bukan dia seorang, kita semua belakang dia,"katanya lagi kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah,di Felda Sungai Koyan 1 hari ini.
Dalam pada itu,ketika ditanya mengenai sokongan pengundi di kawasan berkenaan selepas kemunculan sulung beliau di majlis bersama masyarakat di Dataran Sungai Koyan 1 hari ini,Tun Mahathir yang juga Pengerusi PH menyifatkan parti itu memiliki harapan untuk meraih kerusi di parlimen terbabit.
"Nampak yang datang tadi ramai,lebih dari seribu nampak ada harapan..kita harap kita dapat sokongan orang Sungai Koyan dan Cameron Highlands, kita akan buat yang terbaik untuk orang ramai,"katanya lagi.
Sementara itu mengulas gelaran bekas Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini diberikan jolokan 'Raja Troll' kerana hantaran serta bidasannya memperlekehkan PH dan pemimpin di laman sosial,beliau menyifatkan ia satu usaha meraih simpati masyarakat.
"Dia (Najib) cari simpati orang konon dianiaya tapi dulu masa jadi PM belum dituduh dah kena pakai baju oren.
"Shafie Apdal masa belum dituduh dah kena pakai (oren).Orang lain semua pakai tapi kita bagi kelonggaran kepada dia..dah beberapa bulan kena tuduh,bebas macam itu cerita macam-macam nak cari sokongan,"jelasnya.