BEKAS pengendali skuad Bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee tidak melihat jersi nombor 9 yang diberikan oleh kelab KV Kortrijk kepada penyerang sensasi muda, Luqman Hakim Shamsudin sebagai satu bebanan.
Sebaliknya, Kim Swee menganggap ia sebagai satu pemangkin semangat kepada pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu untuk mempamerkan sentuhan berbisanya dalam saingan Liga Pro Belgium itu nanti.
"Luqman Hakim tidak boleh menjadikan jersi nombor 9 itu sebagai satu bebanan dan kita semua termasuk para peminat bola sepak Malaysia juga tidak boleh memberi tekanan kepadanya.
"Apa yang penting perlu kita tahu Luqman Hakim pergi ke Belgium untuk mendapatkan pengalaman dan dia perlu mengadaptasi dengan suasana di negara Eropah itu selain mendapatkan keserasian bersama pasukan.
"Saya percaya kalau dah lama di Belgium, Luqman Hakim mampu menyinar seperti mana yang kita harapkan. Beri dia masa untuk membuktikan sesuatu, apatah lagi dia baru berusia 18 tahun,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.
Luqman Hakim yang telah menandatangani kontrak selama lima tahun bersama KV Kortrijk dijangka menyarung jersi nombor 9 - nombor yang sinonim diberikan kepada penyerang utama bagi kebanyakan kelab di dunia.
Kim Swee turut mengakui Luqman Hakim perlu melalui beberapa perkara baharu di negara tersebut, namun tidak melihat masalah besar kepada produk kelahiran Akademi Mokhtar Dahari itu untuk menyesuaikan diri.
"Dia sudah banyak kali bermain di luar negara bersama pasukan kebangsaan mengikut peringkat umur. Kesungguhan dia sebelum ke Belgium juga kita nampak dan dia bersungguh-sungguh untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama KV Kortrijk.
Kim Swee yang pernah melatih Luqman Hakim ketika bersama skuad B-23 negara turut mengakui penyerang licik itu memiliki kepantasan dan teknik yang bagus dan akan memberikan kejayaan kepadanya di pentas Eropah.
"Apabila dia dipilih menyertai kelab itu, sudah tentu mereka (KV Kortrijk) melakukan scouting dan analisa. Kelebihan Luqman Hakim bukan satu atau dua tetapi banyak terutamanya dengan kelajuan, kepantasan dan teknik yang dimilikinya.
"Apa yang penting apabila KV Kortrijk mendapatkan Luqman Hakim bermakna kelab itu percaya dia mempunyai kelebihan tersendiri. Tetapi kita kena faham sekali lagi, jangan beri tekanan kepadanya.
"Ini kerana dia perlu bermain dengan pasukan senior, ia peringkat yang berbeza perlu dilaluinya sebelum ini. Beri dia masa dan kita di sini perlu berdoa dan menyokongnya,” jelasnya yang kini bertugas sebagai Ketua Unit Belia FAM.