SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) masih relevan untuk dikekalkan meskipun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan bersama UMNO dan Pas.
Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri berkata, ini kerana kedua-dua entiti itu mempunyai kelebihan tersendiri yang perlu dikekalkan.
"Itu pun (sama ada PN masih relevan atau tidak) menjadi persoalan yang menarik juga, sama ada untuk terus dikekalkan (PN) atau tidak. Cumanya apa yang kita dapat lihat dalam MN itu adalah merupakan wadah perjuangan parti politik orang Melayu, kalau perbezaannya dengan PN, mungkin PN ada orang-orang yang bukan Bumiputera yang berada dalam PN itu sendiri.
"Jadi pada pandangan saya elok juga ada dua entiti ini, satu MN yang menumpukan kepada perjuangan orang Melayu Islam dan satu lagi mungkin yang boleh fokus kepada bukan Bumiputera, walaupun dalam PN itu sendiri adanya Bumiputera di Sabah dan Sarawak... Sabah dan Sarawak ini politik mereka sesuatu yang berlainan daripada Semenanjung.
"Walaupun Melayu-Bumiputeranya ada di sana (di Sabah dan Sarawak) tetapi pembawakan politik, sosiologi di sana, demografi di sana agak berlainan. Jadi elok juga dikekalkan entiti PN itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti itu bersetuju untuk menyertai MN yang mendukung PN sebagai gabungan besar.
Perkara itu diumumkan Muhyiddin dalam perutusan Persidangan Srikandi, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Bahagian Bersatu hari ini.
Mengulas lanjut mengenai penyertaan Bersatu dalam MN itu, Dr Achmad Dzariean berkata, parti itu perlu berbuat demikian bagi menunjukkan kebersamaan dalam MN.
Katanya, langkah itu juga merupakan tindakan terdesak oleh Bersatu yang kini berdepan dengan gelombang ahli yang keluar untuk menyertai Parti Pejuang yang baru diasaskan bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Jadi Bersatu tidak boleh tinggal seorang diri, ia memerlukan sokongan, rakan-rakan untuk sama-sama bergerak dan kemudiannya untuk tunjuk kebersamaan bersama MN.
"Pada pandangan saya, Bersatu cuba mengambil kesempatan untuk bersama dalam perjuangan yang dibawa oleh MN, cuba untuk menunjukkan kebersamaan mereka bersama MN," katanya.