Perjanjian UAE, Israel pengkhianatan terhadap dunia Islam

Iklan
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA TERENGGANU - Pas mengecam perjanjian damai atau normalisasi hubungan dua hala antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan rejim Israel malah menyifatkan ia sebagai satu pengkhianatan kepada umat dan dunia Islam khususnya rakyat Palestin.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan itu menunjukkan UAE bersetuju dan memberikan pengiktirafan terhadap pelan damai tajaan Amerika Syarikat untuk Asia Barat (Deal Of The Century) yang tidak memberikan apa-apa kelebihan kepada umat Islam di Asia Barat khususnya rakyat Palestin.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, keadaan itu juga mendedahkan kepada dunia bahawa sikap Amerika Syarikat khususnya Donald Trump yang langsung tidak mempedulikan Palestin malah menjadi dalang kepada perjanjian khianat yang lebih memihak kepada rejim Israel.

"Perjuangan untuk membebaskan Palestin dan Masjidil Aqsa daripada jajahan dan kekejaman rejim Israel menjadi matlamat utama umat Islam dekad ini.

Iklan

"Sejak negara haram Israel ditubuhkan pada 1948, dunia Islam tidak pernah putus asa berjuang untuk rakyat Palestin bagi menuntut hak dan tanah air mereka. Sehingga hari ini diri, keluarga dan tanah air mereka dijajah, dirampas dan hak mereka dinafikan oleh rejim Israel.

"Bagaimana UAE yang dipimpin oleh seorang pemimpin Islam dan majoriti penduduknya beragama Islam sanggup menghulurkan tangan dan berjabat mesra dengan tangan pemimpin rejim Israel dan Zionist yang penuh dengan darah dan air mata rakyat Palestin yang sejak sekian lama dizalimi, ditindas dan dinafikan hak mereka," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Iklan

Beliau berkata, tindakan yang dilakukan UAE itu tidak bertanggungjawab serta tidak relevan dengan keadaan semasa di Palestin yang begitu memerlukan pembelaan dunia dan sokongan umat Islam ketika ini.

"Pas berpendirian bahawa bumi Palestin sewajarnya dipulangkan kembali kepada rakyat Palestin tanpa sebarang syarat dan ditubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin.

"Sebarang usaha yang berlawanan dengan usaha ini adalah dianggap pengkhianatan kepada umat dan dunia Islam khususnya rakyat Palestin.

"Marilah kita berdoa agar bumi dan rakyat Palestin dipelihara dan dilindungi ALLAH SWT. Seluruh umat Islam perlu bangkit menentang pengkhianatan yang dilakukan UAE terhadap bumi dan rakyat Palestin," katanya.

Terdahulu, Trump dalam satu pengumuman mengejut melalui Twitter berkata, Israel dan UAE berjaya mencapai perjanjian damai.

Katanya, hubungan yang kembali normal antara UAE dan Israel ini adalah satu pencapaian besar dan turut menyifatkan ia sebagai perjanjian damai bersejarah membabitkan dua rakan baik.

AS menganggap peristiwa itu sebagai hari bersejarah dan langkah signifikan ke arah mewujudkan keamanan di Asia Barat sekali gus mengakhiri ketegangan selama 72 tahun di rantau itu.