GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan tujuh nelayan tempatan kerana menangkap ikan tanpa lesen yang sah di kedudukan kira-kira 3 batu nautika timur laut Pulau Kendi tengah hari semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, kesemua nelayan berusia lingkungan 17 hingga 56 tahun itu ditahan dalam Op Benteng Laut pada jam 12.45 tengah hari.
Menurutnya, selepas melakukan pemeriksaan, pihaknya merampas lima kilogram ikan campur selain tiga bot yang digunakan.
"Ketika ditahan, semua nelayan sedang berada di dalam tiga buah bot nelayan tempatan kelas A.
"Mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa lesen yang sah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.
Katanya, dalam operasi sama, pihaknya turut menahan tiga lelaki warga Myanmar berusia 16, 26 dan 32 tahun.
"Mereka ditahan di 2.6 batu nautika selatan Pulau Aman yang bekerja di atas sangkar ikan tidak berdaftar. Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga mereka tidak memiliki permit kerja dan dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah” katanya.