Tiada kluster baharu Covid-19 di Pulau Pinang

Iklan
Chow Kon Yeow

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang mengesahkan tiada kluster baharu kes positif Covid-19 dilaporkan di negeri ini setakat ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kes positif Covid-19 yang dilaporkan adalah dari luar negeri ini iaitu Kluster Sivagangga, Kurau dan Tawar.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, tiada kluster baharu dilaporkan dan semua (positif Covid-19) adalah dari kluster luar negeri.

"Sementara itu, individu dalam siasatan (PUI) pula adalah dari lokaliti serta daerah berbeza iaitu Seberang Perai Selatan (SPS), Seberang Perai Tengah (SPT), Barat Daya, Timur Laut," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Iklan

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKN) Pulau Pinang berkata, laporan kes positif harian di Pulau Pinang oleh KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri (JPN) Pulau Pinang masih pada skala terkawal.

"Tindakan pengesanan kontak rapat kepada pesakit dilaksanakan secara berterusan oleh pihak JKN Pulau Pinang mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan jangkitan ini tidak tersebar dengan meluas dan dapat diputuskan secepat mungkin.

Iklan

"Oleh demikian, semua pihak perlu bertenang dan terus melaksanakan aktiviti harian seperti biasa dengan mengamalkan SOP yang ditetapkan, menjaga penjarakkan fizikal dan memakai pelitup muka," katanya.

Menurutnya, pemilik premis harus memastikan setiap pelanggan mematuhi SOP ditetapkan.

"Mereka wajar dipertanggungjawabkan sekiranya didapati mana-mana pelanggan memasuki premis tanpa kawalan serta pematuhan SOP," katanya.

Kon Yeow berkata, sebarang kenyataan berhubung kes positif harian di semua negeri akan diumumkan secara rasmi oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

Oleh demikian, katanya, semua pihak diminta tidak mengeluarkan kenyataan awal sebelum sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan setiap hari.

"Kenyataan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), daerah dan negeri pula akan lebih tertumpu kepada aspek pematuhan SOP, tanggungjawab masyarakat dalam menyebarkan maklumat yang tepat serta sahih dan sebagainya.

"Sekiranya berlaku kenaikan kes positif secara mendadak di satu-satu lokaliti, maka Pejabat Kesihatan Daerah serta JKN Pulau Pinang telah dimaklumkan untuk mengambil langkah awal dengan membuat penilaian risiko dan menasihati Majlis Keselamatan Negara Negeri Pulau Pinang (MKNPP) dengan tindakan selanjutnya," katanya.

Tambahnya, JKN Pulau Pinang hanya boleh membincangkan serta mencadangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO).

"Semua keputusan pelaksanaan TEMCO ini akan diberi pertimbangan kelulusan serta diumumkan oleh kerajaan Persekutuan," katanya.

Semalam, Kon Yeow berkata, Kerajaan Pulau Pinang belum bercadang untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti di Kedah susulan wujudnya beberapa rekod baharu kes positif Covid-19.

Sehingga 13 Ogos, Pulau Pinang merekodkan 126 kes dengan 121 kes sembuh, satu kematian dan lima kes yang masih aktif.