TANJUNG MALIM - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz memilih untuk berkempen secara bersemuka dengan pengundi berbanding mengadakan ceramah atau program.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu berkata, selain dapat beramah mesra dengan pengundi, ia juga dapat mengelak keadaan bersesak di sesuatu acara atau ceramah bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Iklan
Iklan
"Dengan melakukan kempen secara bersemuka ini, saya dapat lebih mesra dengan pengundi dengan mendengar pelbagai keluhan dan pandangan daripada mereka serta menjaga prosedur operasi standard (SOP), tidaklah berhimpit dan bersesak berbanding mengadakan ceramah atau program di dalam dewan,” katanya kepada pemberita selepas bertemu masyarakat India di sekitar Slim River di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan sepanjang tempoh berkempen yang bermula semalam, setiap calon perlu mematuhi peraturan termasuk penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, saringan suhu badan, penggunaan pensanitasi tangan, selain mengehadkan kehadiran tidak melebihi 250 orang bagi aktiviti ceramah.
Mohd Zaidi, 43, berkata, beliau juga menggunakan media sosial seperti Facebook untuk berkempen.
Tambahnya, beliau akan cuba bertemu dengan seramai mungkin pengundi di DUN Slim, selain menemui jentera parti di kesemua 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi memberikan kata-kata semangat dan perangsang untuk mereka melaksanakan kempen mempertahankan kerusi DUN berkenaan. - Bernama
Artikel Berkaitan