PRESIDEN Lyon, Jean-Michel Aulas memberi pujian kepada pengendali kelab Ligue 1 Perancis, Rudi Garcia berikutan kemenangan luar biasa 3-1 ke atas gergasi Inggeris, Manchester City pada saingan suku akhir Liga Juara-Juara di Lisbon awal pagi tadi.
Lyon tampil dengan reputasi kelab bukan pilihan walaupun sebelum itu mengejutkan Juventus sekali gus membawa kelab berkenaan ke separuh akhir Liga Juara-Juara untuk pertama kalinya dalam 10 tahun.
Menurut Aulas, Garcia yang menggantikan Sylvinho pada Oktober lalu berikutan prestasi hambar berjaya meletakkan kelab itu kembali digeruni pada peringkat Eropah.
"Ini pencapaian terbesar kelab dilakukan Garcia, Juninho (Pengarah Sukan Lyon) dan semua pemain yang beraksi dengan hebat.
"Kami mengharungi tahun yang cukup mengerikan, kami bermula dengan buruk, kami menukar jurulatih, kami mengalami kecederaan pemain pada tahap teruk. Kami kemudian merekrut yang baharu diikuti bertindak balas yang positif,” kata Aulas.
Pada masa sama Aulas menegaskan Lyon tetap bukan kelab pilihan pada pusingan seterusnya, namun memberi jaminan pemainnya akan memberikan aksi terbaik.
"Sejujurnya Lyon mempunyai kesebelasan pemain yang cukup berbakat. Biarpun begitu anda harus mempunyai sedikit kejayaan di luar bakat iaitu semangat juang tinggi untuk berada pada tahap ini.
"Apapun kami mempunyai beberapa sebab untuk terus kekal selesa dengan status bukan pilihan beraksi sepenuh hati bagi menghasilkan keputusan luar biasa.
"Garcia berjaya membentuk kembali keyakinan dalam kalangan pemain selepas datang ke Lyon. Dia datang dengan rendah hati melaksanakan tanggungjawab memperbetulkan semula kelab biarpun berdepan pelbagai cabaran dan dugaan."
Pada aksi di Estadio Jose Alvalade itu, Maxwel Cornet terlebih dulu meletakkan Lyon di depan pada babak pertama.
Namun jaringan penyamaan Kevin De Bruyne kembali menyalakan semula harapan Manchester City sebelum Moussa Dembele menamatkan sisa perjuangan The Citizens dengan dua gol bagi menjadikan kedudukan 3-1.
Bakal berdepan gergasi Bundesliga, Bayern Munich di separuh akhir, Aulas percaya pemain Lyon mampu memberikan aksi terbaik bagi menyaingi kelab Jerman itu.
"Kami tahu mereka (Juventus dan City) memiliki kekuatan cukup hebat, namun kami sebenar mempunyai sekumpulan pemain yang bersatu dan bercita-cita tinggi.
"Elemen ini yang akan kami guna sekali lagi apabila berdepan Bayern Munich seperti mana ketika kami mengatasi Juventus dan Manchester City.”