IPOH - Armada Bersatu Perak mendesak kepimpinan PH Perak menyiasat dakwaan terdapat exco kerajaan negeri berkomplot dengan Adun pembangkang untuk menjatuhkan Menteri Besar Perak.
Ketuanya, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata pihaknya memandang serius dakwaan itu dan jika benar tindakan tegas mesti diambil terhadap pihak terbabit dengan memecat atau menggugurkannya dari exco kerajaan negeri selain tindakan disiplin diambil oleh kepimpinan parti.
Iklan
Iklan
Katanya, tindakan mempermainkan rakan-rakan PH dengan berkomplot bersama Adun pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat adalah suatu perbuatan yang tidak boleh dikompromi sama sekali.
"Rakyat telah memberi mandat serta kepercayaan kepada PH dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah juga telah perkenan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk mentadbir kerajaan negeri Perak.
"Semua pihak patut berhenti daripada menimbulkan perkara yang tidak berfaedah pada rakyat dengan menghidangkan perbalahan, perpecahan dan adu domba tidak kira daripada parti politik mana sekalipun jika kita benar-benar bertanggungjawab untuk memulihkan dan membina semula negeri Perak yang kita cintai ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan Umno Perak mendakwa wujudnya gerakan yang serius untuk menjatuhkan Ahmad Faizal oleh beberapa orang exco kerajaan negeri menerusi usul undi tidak percaya di Dun.
Perkara itu didedahkan Pengerusi Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad dan mendakwa rancangan itu hendak dilaksanakan oleh beberapa exco berkenaan dengan cuba memujuk sekurang-kurangnya lima Adun BN supaya menyokong usul undi tidak percaya yang akan dibuat di Dun. - Bernama