Polis rampas 56kg ganja bersama 157 peluru

Iklan
Shafien (dua dari kanan) menyampaikan surat penghargaan kepada anggota dan pegawai yang terbabit dalam operasi berkenaan.

KOTA BHARU - Seorang buruh ditahan selepas penemuan 56 kilogram (kg) ketulan mampat ganja bersama 157 butir peluru pada serbuan di dua lokasi di Kampung Bukit Lata, Jeram Perdah, Pasir Mas pada Khamis lalu.

Suspek berusia 40 tahun itu ditahan pada serbuan jam 4.30 pagi oleh sepasukan anggota dari Cawangan Risik Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner, Shafien Mamat berkata, serbuan pertama dalam penugasan Op Benteng Covid-19 itu dilakukan di rumah milik suspek dan menemui 550 mililiter (ml) kodein, 110 gram (g) ganja dan 55 pil erimin 5 bernilai RM1,950.

"Pemeriksaan lanjut turut menemui tiga kotak berisi 157 peluru pelbagai jenis dari senjata pistol namun tiada pistol ditemui.

Iklan

"Suspek kemudian membawa polis ke sebuah lagi lokasi dan menunjukkan sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback di mana di dalamnya tersimpan 56kg ketulan mampat ganja dianggarkan bernilai RM112,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Komander Briged Tenggara Kuantan, Asisten Komisioner Sanudin Md Isa.

Iklan

Shafien berkata, suspek dipercayai aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah sejak tiga bulan lalu dengan mengambil bekalan di negara jiran untuk pasaran tempatan dan Lembah Klang.

"Suspek menjadikan rumahnya sebagai transit dadah-dadah berkenaan sebelum diedarkan ke pasaran yang disasarkan.

"Berikutan penemuan peluru, polis percaya ada pistol dan masih mencari senjata api berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas dan menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax bernilai RM70,000 menjadikan keseluruhan rampasan lebih RM100,000.

"Suspek ditahan reman selama lima hari bermula kelmarin sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan surat penghargaan kepada 22 pegawai dan anggota Cawangan Risik Batalion 9 PGA yang berjaya menumpaskan suspek dalam kes tersebut.

"Penghargaan sejurus kejayaan ini adalah julung kali diberikan kepada pasukan polis dan akan terus menjadi tradisi selepas ini sebagai dorongan kepada anggota polis untuk terus membanteras jenayah,” katanya.