TANJUNG MALIM - Kempen secara bersemuka dengan pengundi menjadi pilihan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim berbanding ceramah yang memerlukan perhimpunan ramai.
Mohd Zaidi berkata, gerak kempen seperti itu bukan saja mudah, malah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berikutan pandemik Covid-19 masih belum berakhir.
Menurutnya, proses berkempen beliau setakat ini juga berjalan lancar dengan bantuan dan sokongan kuat jentera BN yang ditugaskan.
"Kita banyak pergi berkempen secara bersemuka kerana agak susah untuk kita buat program besar dalam dewan dan sebagainya untuk pematuhan SOP.
"Kalau bersemuka ini, kita lebih mesra dan dapat menjaga penjarakkan fizikal, tak perlu berhimpit," katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan jentera Parti Makkal Sakti di Pusat Perniagaan Slim Perdana di sini.
Selain kempen secara bersemuka, Mohd Zaidi turut menggunakan platform media sosial seperti Facebook peribadi dan beberapa platform lain yang dibantu oleh jentera parti.
Mengenai gerak kerja kempen pada hari kedua, Mohd Zaidi berkata, beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan cawangan-cawangan sudah beliau kunjungi.
Seawal jam 7.30 pagi, Mohd Zaidi mula berkempen di sekitar Pusat Perniagaan Slim Perdana di sini semalam sebelum ke beberapa lokasi seperti Pekan Slim River, Felda Trolak Selatan dan Felda Besout 2 dengan dibantu pemimpin BN.