TANJUNG MALIM - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan ada pihak cuba mencetuskan kontroversi dengan memberi layanan kurang menyenangkan kepada wakil Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) pada majlis pelancaran jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim semalam.
Beliau berkata, perkara itu mungkin dilakukan beberapa individu yang tidak boleh menggambarkan secara keseluruhan matlamat penyatuan antara UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Mungkin ada elemen-elemen (timbul), sama ada mereka sengaja nak mencetuskan kontroversi ataupun mereka ini tidak nampak kepada 'big picture' (gambaran keseluruhan) matlamat yang lebih besar iaitu penyatuan umat Islam dan bangsa Melayu melalui Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).
"Saya tidak tahu mereka ini siapa, datang dari parti mana tetapi mereka tidak menggambarkan pendirian parti UMNO, Pas ataupun mana-mana parti yang sekarang ini mendukung kerajaan sedia ada," katanya ketika ditemui pemberita pada program Ziarah Kasih di Felda Besout 2 di sini hari ini yang turut dihadiri calon BN, Mohd Zaidi Aziz.
Terdahulu hadirin yang terdiri daripada penyokong BN dilaporkan bersorak 'boo' sebaik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Bersatu akan menyertai Muafakat Nasional secara rasmi.
Sorakan 'boo' berterusan apabila Ahmad Zahid mengingatkan Armada supaya membuktikan keupayaannya pada PRK kali ini.
Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, PRK kali adalah penting untuk menentukan kekuatan parti masing-masing.
"Saya nampak ini satu PRK yang penting, kali kedua bagi kerajaan baharu dan yang pertama setelah tertubuhnya parti baharu, Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air).
"Saya cukup yakin dengan calon kita yang berpengalaman, pernah menjadi aktivis dan gerakan sekian, beliau akan dapat memberi khidmat yang terbaik kepada penduduk di DUN Slim," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Armada kena 'boo', Annuar sifatkan tidak wajar