Kian Meng-Pei Jing lakar kejutan juarai beregu campuran

Iklan
Beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing melakukan kejutan apabila menyingkirkan pasangan profesional negara, Chan Peng Soon-Liu Ying untuk menjuarai Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) 2020 di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

KUALA LUMPUR - Beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing melakukan kejutan apabila menyingkirkan pasangan profesional negara, Chan Peng Soon-Liu Ying untuk menjuarai Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) 2020 di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini hari ini.

Beregu nombor 11 dunia itu memulakan saingan secara agresif untuk menjinakkan beregu pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu 21-10 pada set pertama dan ketinggalan enam mata sebelum merapatkan jurang, sekali gus berjaya mengatasi set kedua dengan 22-20.

Iklan
Iklan

Biarpun tertekan dengan status lawannya itu, Pei Jing berkata, keazaman dan perancangan corak permainan mereka membuahkan hasil untuk muncul juara.

"Kita tak fikir banyak sama ada menang atau kalah, tetapi fokus kepada permainan kami kerana selalunya kalau prestasi bagus, kita boleh menang. Walaupun ketinggalan pada set kedua, kita masih mampu kejar kerana yakin.

Iklan

"Kejohanan ini membantu kami mengembalikan prestasi dan saingan kompetitif kerana latihan dan beraksi dalam kejohanan tak sama,” katanya selepas perlawanan itu.

Sementara itu, Peng Soon berkata, mereka hanya menyalahkan diri sendiri selepas melakukan kesilapan mudah dan gagal mematahkan strategi lawan.

Iklan

"Kita hanya main 80 peratus kerana takut alami kecederaan, kaki Liu Ying pun masih sakit. Mereka pun main dengan baik untuk kejutkan kami,” katanya.

Terdahulu, kecederaan pergelangan kaki kanan tidak menghalang pemain wanita nombor satu negara, Soniia Cheah merangkul kejuaraan acara perseorangan dengan mengalahkan pemain pelapis negara, Eoon Qi Xuan.

Selepas mudah mencipta kemenangan 21-16 pada set pertama, Sonnia terpaksa berhempas pulas pada set kedua sebelum menang 25-23 untuk merangkul kejuaraan.

"Saya bangga kerana mampu bertahan selepas mengalami kecederaan pada sesi latihan semalam. Walaupun sakit, saya hanya mahu menghabiskan set kedua dengan kejayaan. Kini tumpuan adalah untuk pulih dan bersiap sedia untuk menghadapi Piala Uber di Denmark Oktober ini,” katanya.

Dalam acara final beregu wanita, gandingan ke-14 dunia, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean hanya memerlukan masa 38 minit untuk mengatasi pasangan junior Pearly Tan-M. Thinaah 21-14, 21-17.

Juara perseorangan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 manakala juara beregu menerima RM7,500. - Bernama