Tiada premis judi beroperasi di Segamat: Ayob Khan

Iklan
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan bahawa terdapat premis perjudian yang masih bebas beroperasi di Jalan Tembusu dekat Segamat seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, premis berkenaan tidak lagi beroperasi, malah tiga serbuan telah dilakukan di lokasi sama sejak awal tahun ini.

Iklan
Iklan

"Pemeriksaan telah dilakukan dan kita mendapati tiada lagi aktiviti judi ekor haram dilakukan di situ," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas mengenai hantaran laman Facebook ‘Malaysian Crime Watch - MyWatch’ hari ini yang turut memuat naik beberapa keping gambar mendakwa premis terbabit menjalankan aktiviti perjudian dan ekor haram serta berselindung di sebalik kedai minuman.

Iklan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat yang turut dihubungi berkata, premis terbabit telah diserbu pada 8 Mac, 5 April dan terbaharu, 1 Ogos lepas.

"Serbuan kerap dilakukan bagi mengelakkan sebarang ruang untuk sindiket perjudian beroperasi. Selain itu, bekalan elektrik juga telah dipotong sejak September tahun lepas.

Iklan

"Hari ini, saya juga telah menghantar satu pasukan untuk membuat pemeriksaan dan mendapati tiada sebarang aktiviti penjualan nombor ekor dijalankan. Bagaimanapun, kami sentiasa membuat pemantauan berterusan," katanya. - Bernama