KUALA KANGSAR - Seorang lelaki warga Indonesia dikhuatiri lemas selepas sebuah motosikal ditemui di tepi sungai di Kampung Padang Changkat di sini semalam.
Mangsa dikenali sebagai Husein berusia 44 tahun dipercayai hilang selepas motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggangnya itu ditemui oleh orang awam sekitar jam 6 petang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Zahiri Hassan berkata, pihaknya mengesyaki mangsa yang bekerja sebagai penoreh getah itu telah terjatuh ke dalam sungai.
"Ia berikutan penemuan selipar, barang-barang peribadi serta kunci pada kenderaan tersebut.
"Siasatan mendapati motosikal itu adalah milik majikan dan pengadu turut mengesahkan kesemua barangan tersebut adalah milik mangsa,” katanya.
Zahiri berkata, berdasarkan keterangan, mangsa dipercayai mengalami masalah tekanan berikutan sering beritahu mahu balik ke kampung halamannya di Lombok
Justeru itu, katanya, pusat kawalan tempat kejadian melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah diaktifkan.
"Namun begitu usaha-usaha mencari dan mengesan mangsa ditangguhkan memandangkan keadaan telah gelap.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dimulakan jam 9 pagi hari ini,” katanya.