KLANG - Polis menafikan hantaran yang tular di media sosial Facebook mendakwa terdapat cubaan samun dengan taktik bakar di luar rumah agar pemiliknya keluar sebelum disamun di sebuah rumah di Kampung Perepat, di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, pihaknya telah memanggil pemilik akaun Facebook terbabit untuk memberi keterangan.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian tidak berlaku seperti yang ditularkan.
"Semasa kejadian juga, tiada saksi yang nampak kelibat suspek di tempat kejadian. Pemilik akaun Facebook itu hanya membuat andaian dan mengesyaki kemungkinan kejadian samun akan berlaku.
"Tiada laporan polis dan modus operandi yang sama dilaporkan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tegas Nurulhuda, pihaknya menasihati orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial dan sewenangnya memaparkan laporan polis dan membuat kenyataan yang boleh mengelirukan dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
"Sebarang kejadian yang mencurigakan boleh dirujuk di balai polis berhampiran," katanya.
Terdahulu, dakwaan terbabit dengan beberapa keping gambar serta laporan polis telah tular selepas dimuat naik pada 12 Ogos lalu oleh pemilik akaun Facebook 'Pak Lah'.