Pembukaan sempadan Malaysia-Singapura lancar

Iklan
Pintu sempadan Malaysia-Singapura di Tambak Johor, Johor Bahru, kembali dibuka hari ini bagi fasa pertama.

JOHOR BAHRU - Sempadan Malaysia-Singapura yang ditutup sejak hampir enam bulan lalu mula dibuka semula secara rasmi pada hari ini menerusi fasa pertama dengan jumlah yang dihadkan.

Mereka yang dibenarkan keluar dan masuk itu membabitkan kemudahan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dengan jumlah 50 atau 60 orang sehari dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dengan jumlah 2,000 orang sehari.

Iklan
Iklan

RGL membenarkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi yang penting antara kedua-dua negara.

PCA pula membolehkan penduduk yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan kerja di salah satu negara, memasuki negara itu.

Iklan

RGL dan PCA itu dibenarkan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan CIQ Bangunan Sultan Abu Bakar (BSAB), Gelang Patah.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri berkata, pembukaan sempadan Malaysia-Singapura berjalan lancar dengan proses pemeriksaan suhu dan ujian calit Covid-19 dilakukan sebelum rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dibenarkan masuk ke republik itu.

Iklan

Menurutnya, kuota bagi rakyat Malaysia yang masuk ke Singapura menerusi skim RGL dan PCA untuk tempoh lima hari ini sudah penuh setakat ini.

Pemeriksaan dilakukan pihak berkuasa Malaysia di laluan masuk kereta dari Singapura ke Johor di CIQ Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hari ini.

"Sehingga jam 11 pagi ini, seramai 300 orang dari Singapura sudah masuk ke Malaysia. Bagi mereka yang pulang dari Singapura dari CIQ BIS dan ada rumah di Johor, mereka perlu dikuarantin sendiri di rumah selama 14 hari.

"Bagi mereka yang tiada rumah di Johor atau bukan orang Johor, mereka akan dikuarantin di Hotel KSL manakala bagi mereka yang pulang melalui CIQ BSAB pula dan tidak ada rumah di Johor akan dikuarantin di Hotel Amansari," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat CIQ BIS hari ini.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di CIQ BIS mendapati, orang ramai sudah mula beratur seawal jam 6.30 pagi untuk masuk ke republik berkenaan.

Pekerja Malaysia di Singapura beratur untuk pemeriksaan kesihatan sebelum masuk ke republik itu dari CIQ Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hari ini.

Kebanyakan mereka terpaksa berjalan kaki dengan membawa beg pakaian dan keperluan lain dari Tambak Johor hingga ke CIQ di Woodlands Singapura sejauh kira-kira empat kilometer kerana tiada pengangkutan awam disediakan.

Seorang pekerja kilang, Iwan Shamsuddin, 37, melahirkan rasa lega kerana pintu sempadan akhirnya dibuka dan membolehkannya dan rakan-rakan kembali bekerja selepas beberapa bulan bercuti sebelum ini.

Dia yang sudah dua tahun bekerja di Singapura berkata, keputusan kedua-dua kerajaan sememangnya tepat pada masanya tanpa menunggu statistik kes koronavirus (Covid-19) di kedua-dua negara mencapai kadar sifar.

Seorang lagi rakyat Malaysia bekerja di republik itu yang hanya mahu dikenali sebagai Veli, 40, bersyukur kerana tidak dibuang kerja dan berharap situasi akan bertambah baik selepas ini.

"Saya sudah bekerja di hotel di Singapura lebih 15 tahun dan pengurus hotel saya membuat panggilan supaya bekerja semula walaupun perniagaan di sana sedikit terjejas sedikit tetapi tidak sehingga membuang pekerja," katanya.