TANJUNG MALIM - [DIKEMAS KINI] Sudah lebih 60 tahun saya di sini, sekali pun tak pernah tinggal mengundi, kata M Renggaiyah, 96, antara pengundi tua pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Menurutnya, dia tidak mahu ketinggalan daripada menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi walaupun terpaksa berkerusi roda disebabkan keadaannya kini uzur.
"Dulu ketika PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14), saya masih sihat boleh jalan lagi untuk keluar undi.
"Kali ini istimewa sikit sebab PRK, jadi selagi mampu saya mesti keluar undi, itu tanggungjawab kita," katanya.
Dia ditemui pada program Ramah Mesra Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz di Trolak Pekan di sini hari ini.
Trolak Pekan mempunyai 907 pengundi berdaftar dan 47 peratus daripadanya merupakan kaum India, terdapat juga 200 pengundi kalangan orang asli dari Kampung Sungai Jentong.
Renggaiyah berhijrah ke Trolak Pekan selepas berkahwin dengan penduduk tempatan di situ dan bekerja sebagai tukang gunting rambut.
Dengan pendapatan sebagai tukang gunting itu, dia berjaya membesarkan empat anaknya hingga menjawat jawatan profesional antaranya jurutera, doktor dan polis.
Dia berkata, banyak pembaharuan dan pembangunan dibawa kerajaan ke Trolak Pekan antaranya pejabat pos, balai polis, sekolah, dewan dan padang untuk beriadah.
"Sebagai orang tua, kita nak tengok masa depan anak dan cucu kita dijaga dengan baik, jadi kena pilih wakil rakyat yang betul-betul boleh jaga kebajikan kita," katanya.