KUALA LUMPUR - Blok Bebas hari ini menolak usul Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020.
Tun Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) berkata, ini kerana terdapat pembaziran yang dilakukan termasuk tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menambah bilangan menteri dan timbalan menteri yang dirasakan tidak perlu.
Menurutnya, dalam keadaan negara yang berdepan kesan besar akibat pandemik koronavirus (Covid-19), tidak wajar kerajaan menambah bilangan menteri dan timbalannya selain turut melantik individu tertentu sebagai duta khas bertaraf menteri.
"Di sini kita dapati bahawa kerajaan telah menambah anggota Kabinet dengan tidak mengambil kira kemampuan kerajaan. Kalau dahulu kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila tubuh kerajaan kita kurangkan bilangan menteri dan timbalan menteri.
"Tapi sekarang dalam pendapatan kerajaan kurang ditambahnya menteri sehingga lebih 30, ada pula menteri istimewa yang menjadi menteri kanan dan ada individu dilantik sebagai (duta) bertaraf menteri kononnya mahu menjaga perhubungan tertentu dengan negara timur dan di timur tengah, malah diberi pelbagai kemudahan kepada mereka.
"Ini bermakna berbilion (peruntukan) perlu ditambah untuk pegawai tetapi sebenarnya tidak ada kerja pun. Tindakan ini akan mengurangkan keupayaan negara menghadapi masalah kekurangan wang untuk mengurus bagi melawan Covid-19," katanya pada sesi perbahasan bagi usul Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Menurut Dr Mahathir, beliau tidak boleh menyokong usul tersebut kerana tindakan merugikan yang dilakukan oleh kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.
"Saya berpendapat bahawa usul ini patut ditolak sama sekali oleh dewan ini jika dewan bertanggungjawab. Kalau dewan tidak bertanggungjawab bolehlah sokong dan kita akan membazir wang," katanya.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri turut mendakwa, tindakan Muhyiddin menambah bilangan menteri dan jawatan bertaraf menteri disebabkan mahu mengukuhkan kedudukan kerajaan PN.