Lelaki Nepal bunuh suami kekasih dihukum gantung

Iklan
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang lelaki warga Nepal selepas dia didapati bersalah mencederakan sehingga menyebabkan kematian seorang pemandu lori yang juga rakan senegara, empat tahun lepas. Hakim Datuk Mohd Radzi Harun menjatuhkan hukuman itu ke atas Suruj Dev Sah Teli, 36, selepas mendapati tiada keraguan munasabah ditimbulkan pada akhir kes pembelaan.Foto: Bernama

IPOH - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang lelaki warga Nepal selepas dia didapati bersalah mencederakan sehingga menyebabkan kematian seorang pemandu lori yang juga rakan senegara pada empat tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Radzi Harun menjatuhkan hukuman itu ke atas Suruj Dev Sah Teli, 36, selepas mendapati tiada keraguan munasabah ditimbulkan pada akhir kes pembelaan.

Iklan
Iklan

Katanya, penelitian dan penilaian maksimum telah dibuat terhadap keterangan semua 18 saksi pendakwaan, dua saksi pembelaan serta melihat semula 65 eksibit barang-barang kes sepanjang perbicaraan berlangsung sebelum ini.

Dalam penghakimannya, Mohd Radzi juga menyatakan rasa puas hati terhadap pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan semua inti pati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bahawa kematian Harithas Raman adalah akibat perbuatan tertuduh.

Iklan

Semasa hakim membaca penghakimannya, Suruj Dev yang berada di dalam kandang tertuduh kelihatan gelisah dan sering melihat ke arah jurubahasa mahkamah di sebelahnya untuk mengetahui maksud penghakiman.

Sebaik mendapat tahu keputusan, Suruj Dev yang merupakan bekas pekerja kilang kelapa sawit di Hutan Melintang, kelihatan sugul dan menundukkan kepala.

Iklan

Mengikut pertuduhan, Suruj Dev didakwa menyebabkan kematian ke atas Harithas Raman, 34, di sebuah rumah di Kampung Mutiara Batu 10, Hutan Melintang antara jam 1.30 hingga 4.05 pagi pada 2 Disember 2016.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ainul Wardah Shahidan manakala tertuduh diwakili peguam daripada Kedutaan Nepal, Datin Kharen Jitkaur.

Kematian Harithas dilaporkan oleh media pada 6 Disember 2016, yang antara lain menyebut seorang wanita bersekongkol dengan kekasih iaitu seorang lelaki warga Nepal untuk membunuh suaminya di rumah mereka di Hutan Melintang, Bagan Datuk. - Bernama