TANAH RATA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap sedia menghadapi pertambahan kenderaan yang akan menyebabkan kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands berikutan PRK Parlimen itu esok juga jatuh pada hujung minggu, kata Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Zakaria Ahmad.
"Seramai 110 anggota trafik telah dikerah bagi memastikan kelancaran lalu lintas di semua jalan di Cameron Highlands esok,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Berdasarkan tinjauan media sepanjang tempoh berkempen yang bermula 12 Januari, laluan terutama kawasan tumpuan seperti Tanah Rata dan Brinchang sesak luar biasa pada Sabtu dan Ahad dengan kesesakan itu dijangka bertambah buruk apabila pengundi turut keluar serta pulang untuk mengundi.
Berkenaan aspek keselamatan, katanya, seramai 1,148 pegawai dan anggota ditugaskan bagi memastikan suasana hari mengundi esok tenang dan terkawal.
"Sebagai penguatkuasa undang-undang kami akan memastikan keadaan terus terkawal dan harap semua pemilih P078 keluar mengundi tanpa rasa takut atau bimbang.
"Termasuk apa juga perkara luar jangka sekiranya berlaku kerana kita mempunyai keanggotaan dan sumber manusia yang cukup dan akan memberikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya.
Namun, menurutnya, berdasarkan trend semasa sepanjang tempoh berkempen sejak 12 Januari lepas yang tenang dan terkawal, polis tidak menjangkakan sebarang situasi luar jangka akan berlaku.
Dalam pada itu, Zakaria berkata sepanjang 14 hari berkempen, sebanyak 29 laporan polis diterima membabitkan pelbagai kes dan satu kertas siasatan telah dibuka iaitu berkenaan kebocoran kertas undi yang ditularkan di media sosial.
"Semua laporan yang diterima itu isunya tidak banyak tetapi ia saling berkaitan antara satu sama lain dan semua telah diambil tindakan,” katanya.
PRK berkenaan menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon PH M Manogaran, calon BN Ramli Mohd Nor dan dua calon bebas iaitu Sallehudin Ab Talib serta Wong Seng Yee.
PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN pada PRU14, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu. - Bernama