Projek pelebaran jalan atasi kesesakan

Iklan
Chong Sin (tiga, kanan) sewaktu melawat Plaza Tol Ayer Hitam.

KLUANG - Masalah kesesakan lalu lintas dari Plaza Tol Ayer Hitam ke Persimpangan Jalan Batu Pahat, di sini, sepanjang 150 meter akan diatasi apabila kerja-kerja pelebaran jalan melibatkan dua fasa telah bermula pada 22 Januari lalu.

Adun Mengkibol, Chew Chong Sin berkata, sebelum ini beliau telah melakukan perjumpaan bersama Ketua Pegawai Operasi Plus Expressways Berhad (PEB), Zakaria Ahmad Zabidi dan Pengarah PEB Bahagian Selatan, Mohd Kasim Ismail untuk membincangkan masalah tersebut.

Iklan
Iklan

"Kesesakan di kawasan ini disebabkan jalan yang hanya 150 meter panjang serta satu lorong dan tidak dapat menampung aliran kereta yang melepasi Tol Ayer Hitam dan keadaan ini menjadi begitu serius sekali pada musim perayaan atau percutian sehingga kereta tidak dapat melepasi plaza tol kerana kesesakan di persimpangan ini.

"Jadi, antara kerja-kerja yang akan dilakukan adalah mengecilkan pulau pemisah dari plaza tol ke arah Kluang dari sembilan meter kepada lima meter agar satu lagi lorong dapat ditambah dengan lebar setiap lorong adalah empat meter," katanya.

Iklan

Beliau berkata kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Plaza Tol Ayer Hitam, di sini, hari ini.

Menurutnya, selain itu jalan ke arah Ayer Hitam dari plaza tol juga akan dilebarkan dan kerja-kerja penambahan lorong ke arah Kluang akan dijalankan pada waktu malam dan kenderaan yang ingin menuju ke arah Kluang dikehendaki melakukan pusingan ke arah Ayer Hitam dan membuat pusingan U untuk ke arah Kluang sepanjang tempoh pembinaan ini.

Iklan

Katanya, kerja-kerja pembinaan ini juga dijangka akan siap sepenuhnya pada 31 Januari ini dan dijangka dapat menampung dan melancarkan aliran trafik di kawasan tersebut sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang akan datang ini.

"Pada bulan Julai lalu juga saya telah menyampaikan kertas cadangan untuk menaiktaraf kawasan ini kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan antara cadangan tersebut termasuklah memindahkan lampu isyarat ke kiri jalan agar satu lorong kenderaan boleh ditambah.

"Pada Oktober tahun lalu, saya juga telah berjumpa dengan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Aziz Abdullah untuk mencari jalan penyelesaian dan akhirnya masalah ini dapat diatasi," katanya.