Bahrain, Oman dan Sudan bakal ikut langkah kontroversi UAE

Iklan
Perjanjian perniagaan pertama ditandatangani antara syarikat APEX National Investment di Abu Dhabi dan Tera Group di Israel yang akan bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan berkaitan Covid-19. Foto: Agensi

TEL AVIV - Bahrain dan Oman disebut sebagai negara Teluk yang akan mengikut jejak langkah kontroversi Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menormalkan hubungan diplomatik bersama Israel walaupun dikecam keras banyak pihak kerana didakwa satu bentuk pengkhianatan kepada Palestin.

"Kami menjangkakan perjanjian damai tambahan dengan negara Teluk lain. Negara Muslim di Afrika seperti Sudan juga pasti ada dalam agenda tersebut,” kata Menteri Risikan Israel, Eli Cohen semalam.

Iklan
Iklan

Difahamkan, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu telah bertemu dengan pemimpin Oman dan Sudan sejak dua tahun lalu.

Pada Jumaat lalu, pegawai di Amerika Syarikat (AS) mengesahkan Rumah Putih telah berhubungan dengan beberapa negara di rantau Asia Barat kononnya untuk melihat kemungkinan lebih banyak perjanjian damai boleh dicapai dengan Tel Aviv.

Iklan

Pegawai terbabit bagaimanapun enggan mendedahkan nama negara terlibat dan hanya menyatakan ia ialah negara Muslim di Asia Barat serta Afrika.

Bahrain yang merupakan sekutu rapat Arab Saudi pernah menjadi tuan rumah kepada pegawai Israel yang menyertai persidangan keselamatan pada 2019.

Iklan

Sehingga kini, Riyadh tidak memberikan sebarang reaksi tentang perjanjian damai digelar Perjanjian Abraham yang dimeterai UAE-Israel pada Khamis lalu.

Sementara itu, sumber kerajaan di Kuwait memaklumkan kedudukan mereka terhadap Tel Aviv tidak akan berubah dan akan menjadi negara terakhir menormalkan hubungan diplomatik dengan Israel.

Dalam satu kenyataan lain, Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Nayef Falah M Al-Hajraf mengecam ‘ancaman serangan’ dibuat Presiden Iran, Hassan Rouhani ke atas UAE berhubung Perjanjian Abraham yang dicapai dengan musuh negara tersebut yang disifatkan sebagai satu kesilapan besar. - Agensi