Pokok lidah jin jadi bahan hiasan

Iklan
Pokok lidah jin antara pokok yang menjadi pilihan ramai untuk dijadikan sebagai dekorasi di dalam rumah selepas ia tular kononnya dikatakan boleh membersihkan udara selain sebagai terapi diri. - Gambar hiasan 123RF

PENGUATKUASAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19 menyebabkan gaya hidup rakyat Malaysia berubah 100 peratus. Jika sebelum ini mereka boleh keluar membeli-belah di mana-mana sahaja ataupun melancong dalam dan luar negara, namun disebabkan Covid-19, semua itu hanya tinggal kenangan.

Akibat terpaksa ‘menahan nafsu’ daripada melakukan aktiviti bersama keluarga dan teman-teman disebabkan pandemik itu, hobi dan kebiasaan yang dilakukan sebelum ini bertukar. Antaranya makin ramai rakyat Malaysia ‘gila pokok’.

Iklan
Iklan

Pokok lidah jin, misalnya, adalah antara pokok yang menjadi pilihan ramai untuk dijadikan sebagai dekorasi di dalam rumah selepas ia tular kononnya dikatakan boleh membersihkan udara selain sebagai terapi diri.

Disebabkan itu juga, harga pokok tersebut mencanak naik disebabkan permintaan menggalakkan.

Iklan

Jika sebelum ini ‘nursery’ bagaikan ‘hidup segan mati tak mahu’, namun kini di mana-mana sahaja kedai menjual pokok bagaikan ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.

Pokok tersebut yang dikenali dengan nama saintifik sansevieria merupakan sejenis tumbuhan yang mempunyai lebih daripada 70 spesies tumbuhan berbunga dalam keluarga ruscaceae.

Iklan

Tumbuhan tersebut mempunyai pohon yang kecil berair dengan daun kehijau-hijauan yang tumbuh dari 20 sentimeter hingga tiga meter tinggi yang kebanyakannya membentuk kelompok daripada rizom atau stolon yang disebarkan.

Bunganya berwarna kelabu keputihan dihasilkan pada rasem yang ringkas atau bercabang 40 hingga 90 sentimeter panjang. Buahnya merupakan beri yang berwarna merah atau jingga.

Kajian

Pada 3 Jun lalu, portal Public Health Malaysia mengatakan bahawa pada tahun 1989, The National Aeronautics and Space Administration (NASA) ada menjalankan satu kajian popular untuk menguji kesan tumbuhan kepada kualiti udara di dalam rumah.

Pada ketika itu, pokok buluh pam, keladi chinese evergreen dan pokok lidah jin dibawa ke angkasa dan telah terbukti dalam ruang yang sempit dan pengudaraan yang terbatas, tumbuhan tersebut mampu memperbaiki kualiti udara.

Namun adakah ia bermakna tumbuhan itu boleh bertindak sebagai penapis udara? Jawapannya tidak.

Penemuan kajian tersebut hanya untuk ruang tertutup di dalam kebuk udara makmal. Dalam ruang pejabat dan bilik bersaiz sederhana, ia memerlukan 1,000 jenis tumbuhan untuk bertindak secara berkesan untuk menapis udara secara berkesan!

Walaupun tumbuhan dalam rumah tidak berkesan sebagai penapis udara, ia sangat penting untuk mengurangkan stres. Persekitaran yang baik dan indah terbukti dapat meningkatkan mood yang positif dalam aktiviti seharian.

Seorang ahli kimia, Dr Fatimah Salim pula melahirkan kebimbangan penyimpanan pokok tersebut di dalam rumah lebih-lebih lagi jika ditanam dalam bekas menggunakan tanah boleh membiakkan mikroorganisma seterusnya menjejaskan kesihatan golongan tertentu.

Menurut Felo Penyelidik di Institut Penyelidikan Sebatian Semulajadi Atta-ur-Rahman (AuRIns), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor itu, tanah adalah tempat paling kondusif untuk mikroorganisma bermandiri kerana kandungan bahan organik, inorganik dan mineral yang tinggi.

Sementara itu, Pusat Racun Negara pada 7 Jun lalu memuat naik status di laman Facebook rasmi menasihati orang ramai terutama yang mempunyai anak kecil agar berwaspada kerana pokok tersebut mengandungi bahan aktif dikenali sebagai saponin yang boleh menyebabkan gejala ringan seperti muntah, cirit birit dan ruam jika termakan.

Selain itu, ia juga mungkin menyebabkan gejala lebih teruk kepada haiwan peliharaan seperti anjing atau kucing antaranya pengeluaran air liur berlebihan, kurang selera makan, lesu dan muntah-muntah.

Untuk itu, terpulang kepada setiap orang untuk mempercayai apa sahaja kajian dan pandangan. Tanam pokok jangan sampai memudaratkan kesihatan.

Pokok pangkalnya bersederhanalah berbelanja demi pokok lidah jin! Penulis sendiri pun terjebak dalam menanam pokok. Cantik juga jika ditanam dalam pasu dan diletakkan di sudut dalam rumah. Orang kata menambah seri!

* Juliana Rosdi ialah Editor Halaman Sinar Harian