'Tahniah orang Sijangkang'

Iklan
Sampah yang berjaya dikutip dari parit Batu 8 Sijangkang. Foto: FB Ahmad Yunus Hairi.

KUALA LANGAT -"Hebat dan tahniah kepada anda semua kerana menghasilkan pemandangan yang tidak ada di kawasan lain." Itu kata sindiran diluahkan perakam dalam sebuah video yang dikongsi di Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi semalam.

Video berdurasi dua minit 25 saat itu memaparkan keadaan parit di Batu 8 Sijangkang yang dipenuhi sampah sarap.

Iklan
Iklan

Perakam dipercayai sukarelawan dari Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang yang terlibat dalam kerja pembersihan parit tersebut bagi mengelakkan sampah berkenaan masuk ke sungai yang boleh menjadi punca pencemaran.

Memetik inti pati rakaman tersebut, dikatakan situasi sampah terapung berhampiran perangkap sampah itu adalah situasi biasa yang dilihat selepas hujan.

Iklan

Katanya, sampah itu datangnya daripada sikap orang orang awam yang membuang sampah terus ke dalam saliran tersebut serta di tepi jalan berhampiran.

Sukarelawan bergambar bersama sampah dari parit yang berjaya dibersihkan.

"Kita dapat lihat sepanjang parit ini sedang berlaku pergerakan sampah dari kampung dan apabila hujan lebat sampah ini dibawa air untuk ke Sungai Langat.

Iklan

"Saya boleh anggarkan 60 peratus sampah sampah adalah dari sisa seperti botol plastik, botol aerosol, tin dan sebagainya... hanya 40 peratus dari sampah pokok.

"Inilah keunikan di kampung Sijangkang yang tiada di kampung lain," selorohnya.

Dalam video berasingan dikongsikan pula kerja pembersihan sungai dilakukan oleh sukarelawan berserta longgokan sampah yang telah dikutip.

"Setiap kali berlaku, sukarelawan ambil tindakan bersihkannya bagi mengelakkan masuk sungai," kongsi di video tersebut.

Sementara itu, Dr Ahmad Yunus memuji sikap sukarelawan yang cakna dengan penjagaan sungai dan berharap kesedaran itu sampai kepada masyarakat.

"Saya mohon sungguh kepada semua warga Sijangkang khususnya, beri kerjasama tolong jangan buang sebarang sampah ke sistem saliran demi kesejahteraan kehidupan kita," tulisnya di ruangan komen.