'Pejuang bakal pecah belahkan Melayu'

Iklan
Pejuang parti terbaru di Malaysia yang menyaksikan Dr Mahathir dinamakan sebagai Pengerusi manakala anaknya, Mukhriz sebagai Presiden parti itu. Gambar kecil: Rusdi Omar

KOTA BHARU - Penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak sepatutnya berlaku kerana ia bakal memecah-belahkan orang melayu.

Dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Rusdi Omar berkata, Dr Mahathir perlu berfikir dengan lebih jauh mengenai nasib orang Melayu yang sebenarnya tidak sejiwa kerana pemilihan politik yang berbeza.

Iklan
Iklan

"Tanpa disedari kini kita ada enam parti Melayu iaitu UMNO, Pas, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), PKR (Parti Keadilan Rakyat), Amanah (Parti Amanah Negara) dan Pejuang. Pening rakyat mahu memilihnya terutama orang Melayu yang faham dengan politik Melayu.

"Apa yang saya nampak, semuanya gila kuasa, semua mahu menjadi ketua sedangkan apabila banyak parti, orang Melayu akan bercelaru. Ini yang kita tidak mahu," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, pemimpin parti politik seharusnya muhasabah, perlu mengasihani rakyat kerana mereka yang perlu memilih sedangkan pemimpin terlalu memikirkan kuasa dan jawatan.

Ketika ditanya mengenai sambutan dan sejauh mana kekuatan parti Pejuang, Rusdi berkata, impak penubuhannya boleh dilihat secara jelas selepas Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak.

Iklan

"Sekarang ini susah untuk diramalkan kemampuan sebuah parti Melayu baharu ini. Kalau calon mereka boleh memberi saingan yang sengit nanti maknanya ada sinar untuk parti Pejuang ini pada masa depan. Tapi kalau kalah teruk nanti eloklah parti ini dibubarkan.

"Dalam PRK Slim kita boleh meramalkan sejauh mana parti ini boleh bertahan. Buat masa sekarang ini susah untuk meramal kerana kita tidak tahu lagi seramai mana ahli mereka.

"Kalau ada sokongan pada calon bebas yang mewakili parti Pejuang bermakna ada isyarat yang jelas bahawa rakyat masih bersama dengan Dr Mahathir," katanya.

Bagaimanapun katanya, jika berlaku sebaliknya ia menunjukkan isyarat bahawa pengaruh Dr Mahathir semakin berkurangan berbanding sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan semasa Pakatan Harapan perintah Putrajaya.