KUANTAN - Seorang buruh menangis kegembiraan selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini, melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar dan memiliki dadah, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Riedzuan Hamzah, 38, di akhir kes pendakwaan.
Sepanjang perbicaraan yang bermula 16 April tahun lalu, seramai lapan saksi pendakwaan memberi keterangan.
Pada penghakimannya, Mariana berkata siasatan yang dilakukan pegawai serbuan selaku saksi pendakwaan ketujuh dan pegawai penyiasat (saksi pendakwaan kelapan) adalah sangat lemah dan lompong, selain berlaku percanggahan dalam keterangan saksi.
Beliau juga menyentuh kegagalan pegawai terlibat tidak menangkap rakan tertuduh Azahari Md Ruaji yang dikatakan berada di bahagian penumpang kereta Proton Perdana milik ayah tertuduh sedangkan lelaki itu mempunyai rekod dalam kesalahan berkaitan dadah.
"Saksi pendakwaan ketujuh pada awalnya menafikan Azhari ada melarikan diri namun kemudiannya tidak pasti jika dia berada di situ semasa serbuan kerana keadaan ladang yang gelap dan hanya diterangi cahaya bulan.
"Saksi juga mengakui hanya menunjukkan satu plastik berisi dadah yang telah dipotong kepada tertuduh manakala plastik lain tidak dipotong. Adalah tidak selamat untuk membuat anggapan bahawa kandungan semua plastik adalah sama, khususnya dalam kes melibatkan hukuman gantung," katanya.
Berdasarkan keterangan, dadah itu ditemui di tempat letak kaki bawah kerusi pemandu dan di tempat duduk belakang kereta tersebut.
Mariana menambah keterangan juga menyatakan ada seorang lagi lelaki yang dikenali sebagai Azrin yang datang ke tempat kejadian dengan menunggang motosikal selepas tertuduh ditangkap juga tidak diambil keterangannya.
Katanya, pegawai serbuan mengakui Azrin tidak berkaitan dengan kes, namun mengakui terdapat topi keledar dan jaket merah di tempat letak barang kereta boleh menimbulkan anggapan orang lain mempunyai akses kepada kereta itu.
"Jaket dan barang-barang lain yang berada di dalam kereta juga tidak dirampas sedangkan ia penting kerana dapat memberitahu penglibatan Azrin. Jika tidak buat siasatan bagaimana pegawai penyiasat boleh buat rumusan ia tiada kaitan?," katanya.
Mariana menambah pegawai yang terlibat juga tidak menghantar lima telefon bimbit yang dirampas dalam serbuan itu kepada bahagian forensik di Cyberjaya bagi siasatan lanjut, selain kesilapan tetap menggunakan mesin imbangan yang sudah rosak.
Mohd Riedzuan didakwa mengedar 31.8 gram heroin pada ladang kelapa sawit Keratong 9, Muadzam Shah dekat sini, pada pukul 3.20 pagi, 28 Jan 2017 selain turut didakwa memiliki 14.6 gram dadah jenis monoacetylmorphines dan 43.63 methamphetamine.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati dan Seksyen Seksyen 12(2) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan tidak kurang 10 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mirza Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam G.Subramaniam Nair. - Bernama