Aktiviti sukan, kokurikulum sekolah mulai 1 September

Iklan
Ismail Sabri

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan membenarkan aktiviti sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah untuk pelajar sekolah mulai 1 September ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini telah meluluskan pembentangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai garis panduan aktiviti tersebut.

Iklan
Iklan

"Garis panduan ini merangkumi pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka termasuk amali di luar bilik darjah bagi mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) serta Sains Sukan dalam keadaan yang terkawal," katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Ismail Sabri juga berkata, antara garis panduan yang perlu dipatuhi termasuk mendapatkan kebenaran bertulis ibu bapa atau penjaga, penggunaan bilik mandi dan persalinan dihadkan mengikut kapasiti, memastikan penjarakkan fizikal satu hingga tiga meter bagi aktiviti statik dan tiga hingga lima meter bagi aktiviti dinamik serta peralatan perlu dibersihkan dan disanitasi.

Iklan

Katanya, aktiviti sukan dan kokurikulum juga perlu mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta KPM yang sedia ada.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat khas juga telah meneliti dan meluluskan garis panduan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Amali Teknikal dan Vokasional yang juga berkuat kuasa 1 September.

Iklan

Katanya, garis panduan tersebut akan melibatkan lebih 89 Kolej Vokasional serta Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Teknik terpilih.

"Antara garis panduan yang perlu dipatuhi termasuk menentukan bilangan pelajar berdasarkan kapasiti ruang, tempat, peralatan amali dibersihkan dan disanitasi serta pelajar bergejala tidak akan dibenarkan untuk mengikut amali,” katanya.

Katanya, garis panduan lengkap boleh didapati di laman web MKN dan KPM mulai 1 September. - Bernama