Zahid serah kepada BN Sabah pilih Ketua Menteri

Iklan
Ahmad Zahid - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada kepimpinan BN dan UMNO Sabah bagi memilih Ketua Menteri dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) apabila parti itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau berkata, ia selaras dengan kuasa autonomi yang diberikan oleh Dewan Tertinggi BN dan disahkan oleh pada Perhimpunan Agung parti itu pada 2019.

Iklan
Iklan

"Lepas Pilihan Raya Negeri (PRN) kalau dapat majoriti mudah perundingan akan dijalankan dengan semua ADUN yang ada.

"Di Sabah ada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Bagi pembentukan kerajaan negeri, ini tahap kedua untuk hadapi perundingan selepas pilihan raya tamat," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Iklan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan 26 September ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri Sabah.

Ia selepas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lalu yang mengumumkan Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin telah berkenan untuk membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Iklan

Ditanya mengenai kesediaan BN untuk berkompromi dengan parti-parti lain dalam pengagihan kerusi, Ahmad Zahid berkata, kebijaksanaan diperlukan bagi mendepani perkara tersebut agar keadaan kekal harmoni.

"Selain daripada UMNO dan PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) yang menganggotai BN terdapat beberapa parti politik Sabah lain, tentunya mereka mahu dan berhasrat bertanding yang pada hemat mereka boleh memberikan sumbangan kepada pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

"Kebijaksanaan dan kompromi mesti mendepani permintaan parti berkenaan. Kita tahu parti terlibat, STAR (Parti Solidariti Tanah Airku), PBS (Parti Bersatu Sabah), kita juga tahu terdapat beberapa parti lain yang berhasrat letakkan calon termasuk Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) mempunyai ADUN yang asalnya ADUN yang bertanding atas tiket BN Sabah pada PRU lepas," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa tidak akan melepaskan tangan kepada BN Sabah semata-mata dalam menghadapi PRN.

"Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin akan bertemu dengan Presiden-Presiden parti di Sabah untuk bertemu dan berbincang berkaitan dengan kerusi ini.

"Saya dan Tan Sri Annuar Musa juga akan ke Sabah bagi membantu BN Sabah. Kita harus ingat Parti Cinta Sabah yang diketuai oleh Datuk Seri Anifah Aman akan turut serta," katanya.

Bung Moktar yang turut serta pada sidang media ketika ditanya mengenai penggunaan logo BN pada PRN Sabah berkata, parti itu akan menggunakan logo BN.