Bicara kes Zulfarhan: DNA saksi pendakwaan ditemui pada tali pinggang

Iklan

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa asid deosiribonukleik (DNA) seorang saksi pendakwaan yang juga penuntut Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) ditemui pada tali pinggang taekwondo, yang dipercayai digunakan untuk mengikat Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain, sebelum mangsa dikatakan ditekap seterika wap.

Perkara itu diberitahu peguam Amer Hamzah Arshad ketika pemeriksaan balas ke atas pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Inspektor Mohd Aidil Shafie.

Iklan
Iklan

Amer Hamzah yang mewakili tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal dan tertuduh kedua, Muhammad Azamuddin Mad Sofi dalam perbicaraan kes itu bertanyakan kepada Mohd Aidil adakah saksi itu mengetahui bahawa DNA Muhammad Izzul Akhtar Rosli, telah ditemui pada tali pinggang berwarna kuning tersebut.

"Saya tidak tahu mengenai DNA itu,” kata Mohd Aidil, 37, yang merupakan saksi pendakwaan ke-28. Muhammad Izzul Akhtar adalah saksi pendakwaan ke-17 yang telah dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan hari kelapan kes itu, tahun lalu.

Iklan

Pelajar itu juga merupakan penghuni bilik 04-10 bersama empat lagi penghuni lain termasuk tiga tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Najib Mohd Razi yang dituduh membunuh Zulfarhan Osman serta tertuduh Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain yang dituduh mencederakan mangsa.

Mohd Aidil bagaimanapun bersetuju dengan cadangan Amer Hamzah bahawa tali pinggang itu adalah tali pinggang yang digunakan untuk seni mempertahankan diri.

Iklan

Saksi itu turut bersetuju bahawa hanya ujian DNA yang boleh menentukan individu yang pernah menggunakan tali pinggang tersebut.

Kepada cadangan Amer Hamzah adakah tertera nama mana-mana individu atau penuntut UPNM pada tali pinggang itu, Mohd Aidil yang sebelum ini bertugas sebagai Pegawai Risik dan Operasi di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang berkata,"tidak”.

Pada prosiding itu tali pinggang tersebut dibawa ke bilik bicara dan dicamkan sebagai antara barang kes yang telah diambil Mohd Aidil di bilik 4-10 asrama penginapan UPNM.

Selain tali pinggang, barang kes yang turut diambil Mohd Aidil adalah seterika wap.

Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka yang kesemuanya berusia 23 tahun, dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 7 Mac. - Bernama