Sumbangan politik 10 peratus untuk Najib: Saksi

Iklan
Saidi Abang Samsudin

KUALA LUMPUR - Bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd (Jepak Holdings), Saidi Abang Samsudin memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa sumbangan politik 10 peratus yang dijanjikan beliau itu adalah untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saksi Pendakwaan ke-17 itu berkata, ia sebagai penghargaan selepas Najib meluluskan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar dan pedalaman di Sarawak yang dipohon syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd berjumlah RM1.25 bilion.

Iklan
Iklan

Saidi memberitahu, sumbangan politik berkenaan merupakan wang yang diperuntukkan untuk menstabilkan politik Barisan Nasional (BN)/UMNO ketika itu.

Menurutnya, oleh kerana tidak dapat bertemu dengan Najib secara bersemuka ekoran kekangan masa dan Perdana Menteri yang sentiasa sibuk, maka beliau mengambil alternatif untuk menyampaikan sumbangan itu melalui isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

Iklan

Ketika sesi pemeriksaan balas peguambela, Datuk Akberdin Abdul Kadir berhubung perkara itu, Saidi berkata, bagi menyampaikan sumbangan itu satu pertemuan diaturkan bekas pembantu Rosmah, iaitu Datuk Rizal Mansor di rumah Rosmah di Jalan Langgak, Duta sekitar Januari hingga Februari 2016.

Akberdin bertanya kepada Saidi reaksi Rosmah ketika sumbangan wang itu yang dibawa dalam dua beg hitam di kediaman bekas perdana menteri itu, menurutnya, Rosmah hanya menjawab hmm...

Iklan

Saidi turut berkata, Rosmah juga tidak terkejut menerima sumbangan itu, malah keadaannya itu hanya seperti biasa walaupun ia merupakan perjumpaan pertama di kediamannya itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

Rosmah, 68, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada KPM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.