KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) Sabah hari ini memutuskan akan menggunakan logo dacing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September depan.
Logo berkenaan diumumkan oleh Pengerusi BN dan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam sidang media yang turut dihadiri Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen di sini, hari ini.
"Pakai logo BN," kata beliau.
Bagaimanapun katanya, keputusan tersebut akan dibincangkan dengan parti-parti lain yang turut bertanding.
Dalam pada itu, Bung Mokhtar berkata, BN Sabah juga memerlukan sedikit masa untuk memuktamadkan calon yang bakal bertanding tetapi mengesahkan senarai pendek calon sudah diperoleh.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga menyatakan kesediaannya bertanding dalam PRN kali ini, namun tetap menyerahkan keputusan akhir kepada kepimpinan BN Pusat bagi menentukan keputusan tersebut.
"Kalau kawan benarkan saya tanding. Kita akan buat strategi yang baik. 'Timing' (masa) mesti sesuai dengan apa yang kita rancang," kata beliau lagi.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, BN dan UMNO Sabah akan diberi autonomi penuh untuk bersiap sedia menghadapi PRN di Negeri Di Bawah Bayu itu.
Ahmad Zahid juga mengumumkan bahawa Bung, yang juga Ketua UMNO Sabah akan mengetuai jentera PRN itu kerana UMNO Sabah mempunyai kuasa autonomi untuk membuat keputusan.
Beliau juga mengatakan bahawa BN dan UMNO Sabah juga diberi mandat untuk merundingkan pembahagian kerusi di antara pihak-pihak yang mengambil bahagian dalam PRN berkenaan
Sementara bagi calon Ketua Menteri Sabah pula hanya akan ditentukan sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan negeri dalam PRN itu, bulan depan.
Ahmad Zahid berkata, ketika ini BN memfokuskan kepada usaha perundingan kerusi dengan parti politik di Sabah bagi memastikan pertembungan satu lawan satu dapat direalisasikan.
"Lepas PRN kalau dapat majoriti mudah perundingan akan dijalankan dengan semua ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang ada.
"Di Sabah ada 73 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri). Bagi pembentukan kerajaan negeri, ini tahap kedua untuk hadapi perundingan selepas pilihan raya tamat," katanya pada sidang media sama.
Ahmad Zahid berkata, BN mengambil sikap untuk memurnikan sebarang perundingan berhubung agihan kerusi parti politik di Sabah dan kebijaksanaan strategi serta kompromi mesti mendepani sebarang permintaan dari parti yang bertanding.
"Kita akan memurnikan perundingan dan tentunya kita berikan peluang untuk Pengerusi BN dan UMNO Sabah (Datuk Seri Bung Mokhtar Radin) adakan rundingan awal dengan presiden parti berkenaan.
"Saya dan Setiausaha Agung (Tan Sri Annuar Musa) tidak akan lepaskan tangan, (untuk) adakan pertemuan dengan presiden parti di Sabah.
"Kita harus ingat, Parti Cinta Sabah yang diketuai (Tan Sri) Anifah Aman akan turut serta. Namun kita akan berbincang dengan Anifah untuk susun atur, tentukan gerak kerja (di PRN) Sabah, jika pintu masih terbuka untuk kami berunding dengan parti berkenaan," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Sabah pada 26 September ini selepas kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini memohon untuk Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan DUN.