PETALING JAYA - Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan terus mempergiatkan kerjasama dengan syarikat e-dagang gergasi dalam membantu industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di luar bandar memasarkan barangan menerusi platform digital.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, kerjasama menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) merupakan antara langkah merancakkan ekonomi negara yang terjejas susulan koronavirus (Covid-19).
"Usaha dari pihak kerajaan semata-mata (untuk memperkasa pemasaran digital) tidak cukup sebaliknya kita perlu gandingan bersama syarikat platform digital yang sedia kukuh dan mempunyai kolaborasi dengan jenama antarabangsa,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran syarikat platform e-dagang Aladdin Group di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerjasama tersebut juga akan menumpukan kepada pasaran makanan dan produk halal terutama yang dihasilkan usahawan Bumiputera.
"Kami juga akan membantu usahawan mendapatkan logo Produk Ummah dari Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM).
"Logo tersebut berfungsi untuk menunjukkan produk tersebut diusahakan usahawan Islam dan membantu mereka memasarkan produk mereka lebih cepat sementara menunggu perolehan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang perlu proses lebih lama dan teliti," katanya.
Tambahnya MDEC juga akan meneruskan usaha melatih usahawan luar bandar memanfaatkan platform digital menerusi inisiatif Perkhidmatan e-Dagang Setempat (PeDAS) yang dilaksanakan di Pusat Internet Desa (PID) seliaan KKMM.
Terdahulu, Zahidi hadir menyaksikan pertukaran perjanjian antara Aladdin Group, pengendali platform e-dagang halal premium eksklusif pertama di dunia dan rakan kongsi syarikat tersebut. - Bernama